JIKA artis terkenal Taylor Swift mampu meraih kejayaan menerusi jelajah konsert The Eras Tour, kenapa tidak Viktor Axelsen?
Pemenang emas dua kali perseorangan lelaki Sukan Olimpik itu mengadakan sesi bertemu peminat sempena Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena di sini hari ini.
Namun apa yang menarik perhatian ialah poster acara itu yang menyerupai poster ikonik jelajah konsert Taylor baru-baru ini.
Reka bentuk poster yang berwarni-warni itu menampilkan gambar jaguh Denmark itu sepanjang perjalanan kerjayanya yang gemilang sama seperti konsep pelbagai era perjalanan karier Taylor.
Pemain berusia 31 tahun itu turut mengenakan kemeja-T hitam yang menampilkan rekaan menyerupai poster jelajah beliau dengan tulisan 'Busy Chasing Dreams Victory World Tour 2010-2024' pada bahagian hadapan manakala pada bahagian belakang tertera senarai pencapaian bintang badminton itu.
Meskipun hujan lebat, ratusan peminat berkumpul untuk bertemu idola mereka itu dan ramai yang berpeluang mengambil gambar kenangan selain mendapatkan tandatangan beliau, sekali gus menjadikan susah payah meredah hujan berbaloi.
Pelajar kolej swasta, Siti Syazwani Kamaruzzaman, 22, berkata, dia terpesona ketika bertemu bekas pemain nombor satu dunia itu.
"Adakah Axelsen seorang 'Swiftie'? Saya sangat suka rekaan poster itu. Sangat hebat," katanya.
Sementara itu, meskipun kecewa menyaksikan Axelsen tersingkir awal daripada kejohanan Super 1000 berkenaan, seorang lagi peminat Loh Yet Hong, 31, berkata juara dunia dua kali itu seorang yang mesra.
"Saya selalunya menghadiri Terbuka Malaysia untuk menyokong beliau daripada tempat duduk penonton tetapi ini paling dekat saya dapat melihat beliau," katanya.
Pilihan keempat dan juara Terbuka Malaysia dua kali itu dikejutkan dengan kekalahan pada pusingan pertama kepada pemain bukan pilihan Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong, 17-21 13-21 dalam 38 minit, Selasa lepas.
Axelsen akan kembali beraksi pada Terbuka India 2025 di New Delhi iaitu beliau akan berdepan Chi Yu-Jen dari Taiwan pada pusingan pertama kejohanan Super 750 itu. - Bernama