Pegawai tertinggi syarikat penyiaran ditahan disyaki terlibat pengubahan wang haram

Iklan
Razarudin Husain. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menahan lima individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan kerana disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram menerusi Op Ragada hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka yang terdiri empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi termasuk di Pulau Pinang dan Sarawak.

Iklan
Iklan

Razarudin berkata, tangkapan dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas menerima maklumat risikan kewangan Suspicious Transaction Report (STR) tentang transaksi meragukan melibatkan beberapa akaun bank dalam tempoh 2017 hingga Sept 2024.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas, membekukan dan menyita aset seperti kenderaan, akaun bank dan dokumen-dokumen yang nilai keseluruhan berjumlah RM17,434,217.

Iklan

"Modus operandi dilakukan adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Razarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Iklan

Sementara itu, di Sarawak hari ini, pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menahan seorang eksekutif pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran.

Eksekutif berusia 60-an itu dilihat memakai topi berwarna hitam, pelitup muka serta berjaket kelabu.

Dia diiringi polis masuk ke syarikat penyiaran itu kira-kira jam 2 petang sebelum dibawa keluar sejam kemudian.

Seorang daripada anggota polis turut dilihat membawa sebuah kotak berwarna biru dipercayai mengandungi dokumen berkaitan kes berkenaan.

Difahamkan eksekutif itu baru pulang daripada menunaikan umrah. - Bernama