KUALA LUMPUR - Bukan sahaja menjaga gerai tetapi ada sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai bertindak sebagai 'kepala' atau pemilik perniagaan di Jalan Petaling, di sini.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan daripada peniaga tempatan menyatakan berlaku persaingan tidak sihat apabila ada PATI cuba memonopoli perniagaan di kawasan pelancongan tersebut.
Beliau berkata, golongan PATI tersebut kononnya mengaku sebagai pekerja, namun sebenarnya telah menguasai beberapa gerai perniagaan di Jalan Petaling.
Sehubungan itu kata beliau, bertindak atas maklumat dan risikan dilakukan, pihaknya menerusi 'KL Strike Force' menyerbu Jalan Petaling pada petang Jumaat.
"Malah ada juga PATI secara bersilih ganti bekerja di sini dan ada juga secara sambilan.
"Warga asing tidak boleh berniaga dan mempunyai perniagaan sendiri," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Wan Mohammed Saupee berkata, menerusi serbuan selama sejam itu, seramai 77 warga asing telah diperiksa dan sebanyak 34 ditahan atas pelbagai kesalahan.
Selain itu katanya, empat warga tempatan yang dipercayai pemilik premis perniagaan di Jalan Petaling diminta hadir ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk soal siasat kerana menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Tambah beliau, pihaknya menahan 26 orang warga Bangladesh, Myanmar (4), Pakistan (2) serta masing-masing satu warga Mauritius dan Nepal.
Menurutnya, kesemua yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah, menyalah guna pas kerja dan tinggal lebih masa.