Kereta dihanyut arus deras, pemandu panjat bumbung selamatkan diri

Iklan
Pemandu bertindak memanjat bumbung pacuan empat roda selepas kenderaan tersebut hanyut dibawa arus ketika menyeberang jalan konkrit untuk pulang ke rumahnya dalam kejadian di Kampung Sungai Simpangan, Kota Marudu.

KOTA MARUDU - Tindakan seorang lelaki yang cuba menyeberang sungai di jalan konkrit untuk pulang ke rumah nyaris meragut nyawa apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hanyut dibawa arus deras di Kampung Sungai Simpangan, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 20-an sempat keluar dari kenderaannya dan bertindak memanjat bumbung kereta sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.20 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari BBP Kota Marudu.

Iklan

"Mangsa cuba keluar sendiri dari kenderaan dan berjaya menyelamatkan diri daripada terus hanyut. Ketika pasukan bomba tiba, mangsa berada di atas bumbung kereta tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, operasi membantu mangsa segera dilakukan di mana kedalaman sungai ketika itu berada di paras sekitar tiga meter.

Iklan

"Operasi menyelamatkan mangsa terpaksa menggunakan tali kerana keadaan arus yang deras dan sukar untuk pasukan bomba menyeberang sungai tersebut.

"Mangsa berjaya diselamatkan dan seterusnya di bawa ke tempat selamat," katanya.

Mohd Hasbi berkata, operasi kemudian ditamatkan selepas pihaknya memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.