IMPIAN beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk terus melangkah jauh dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi tidak kesampaian.
Langkah pasangan negara yang menghuni kedudukan ke-24 dunia itu terhenti setelah kalah kepada beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di suku akhir.
Saingan sengit dipamerkan kedua-dua pasangan pada set pertama yang menyaksikan mereka saling mengejar mata.
Pertarungan penuh bersemangat mereka dapat dilihat apabila kedudukan mata akhir terikat sebanyak empat kali sebelum Satwiksairaj-Chirag menang 26-24 selepas beraksi selama 28 minit.
Yew Sin-Ee Yi cuba bangkit pada set kedua dan mendahului permainan 11-8.
Satwiksairaj-Chirag bagaimanapun bangkit mengikat kedudukan 11-11 dan memimpin perlawanan selepas itu sebelum mengesahkan kemenangan 21-15 dalam aksi selama 50 minit itu.
Menanti Satwiksairaj-Chirag di separuh akhir adalah pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang menang ke atas kembar dari Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang 21-11, 21-7.