PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan perkongsian tular di media sosial mengenai kemasukan pelancong warganegara China ke Malaysia tanpa perlu melalui prosedur pemeriksaan sedia ada.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menafikan berlakunya kejadian seumpama itu seperti yang didakwa baru-baru ini.
Tegas beliau, kenyataan yang tular itu adalah sama sekali tidak berasas dan boleh menjejaskan imej serta kredibiliti pihak jabatan.
"Pelaksanaan inisiatif autogate tidak menjejaskan aspek keselamatan kerana data pasport dan maklumat kemasukan akan melalui padanan data biometrik serta pengecaman wajah yang disimpan dalam cip pasport.
"Pelawat yang menggunakan autogate mesti memenuhi syarat-syarat seperti bebas daripada senarai syak dan senarai hitam serta telah mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC), kecuali warga Singapura yang dikecualikan daripada keperluan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zakaria berkata, bagi memantapkan pengurusan kemasukan warga asing dan mengurangkan waktu menunggu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membenarkan warga asing dari 63 negara menggunakan kemudahan autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Satu dan Dua termasuk warga China.
Kata beliau, JIM menyokong dasar kerajaan untuk mempermudah kemasukan warganegara asing ke Malaysia terutama pelawat sosial yang mampu menjana ekonomi negara.
Beliau berkata, pihak jabatan juga sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pengembara asing yang memasuki Malaysia tanpa kompromi terhadap isu keselamatan.
Sementara itu katanya, peningkatan kemasukan warganegara China ke Malaysia adalah impak positif hasil daripada dasar kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama melalui pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV).
Untuk rekod, menurutnya, kadar kemasukan warganegara China selepas pelaksanaan PLV mencatat peningkatan iaitu seramai 3.9 juta pada tahun lalu, berbanding 1.6 juta pada 2023.
Jelasnya, pencapaian baik itu merupakan peningkatan hampir 140 peratus.