Gagal patuhi penggunaan alat sukat, lapan premis dikompaun RM7,200

Iklan
Operasi bersepadu yang dijalankan KPDN Pahang di premis pusat hiburan keluarga, pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan di sekitar bandar Kuantan. Foto KPDN Pahang

KUANTAN – Lapan premis di sekitar Kuantan dikenakan kompaun berjumlah RM7,200 selepas didapati gagal mematuhi peraturan penggunaan alat sukat cecair dan masa dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang.

Operasi yang berlangsung selama empat hari, berakhir pada Khamis, dijalankan bersama dua syarikat yang dilantik (SDL) iaitu Metrology Corporation Malaysia dan De Metrology Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas 49 premis yang terdiri daripada pusat hiburan keluarga, pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan di sekitar bandar Kuantan.

"Hasil pemeriksaan kami berjaya merekodkan 30 kes pelanggaran kesalahan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, tidak ditandakan dengan cip, tidak diperakui atau disahkan.

Iklan

"Kesalahan lain yang diambil adalah di bawah Seksyen 12(3) ATS 1972 kerana menggunakan alat timbang atau sukat tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pegawai KPDN sedang menjalankan pemeriksaan pematuhan terhadap penggunaan alat sukat cecair dan masa di sebuah premis perniagaan. Foto KPDN Pahang

Iklan

Operasi itu melibatkan seramai 15 anggota penguat kuasa KPDN Pahang dan pegawai SDL.

Jezlily turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa memastikan alat sukat yang digunakan oleh peniaga adalah yang telah ditentusahkan dengan memeriksa pelekat tentusah yang diletakkan pada alat tersebut.

"Mana-mana peniaga yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan denda maksimum RM40,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, KPDN Pahang akan terus berusaha untuk memastikan pematuhan peraturan ini dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta pihak berkaitan.

Katanya, pengguna juga digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan melalui saluran aduan yang disediakan.