Banduan akhir dari Nigeria ucap syahadah

Iklan
Ustaz Ebit Lew mengislamkan banduan akhir dari negara Nigeria di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Malaysia, Arau di sini. - Foto: Instagram Ebit Lew

ARAU - Saat nyawa hampir di tali gantung, siapa sangka pesalah dari Nigeria terbuka hati memeluk Islam di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Malaysia, Arau di sini.

Perkara itu dikongsi oleh penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang mengakui sayu tatkala bertemu penghuni penjara itu.

Iklan
Iklan

"Menangis menggeletar tangan dan seluruh badannya saat mengucap syahadah. Allahuakbar. Insya-ALLAH penjara akan bantu belajar Islam dan solat.

"Sebelum masuk penjara. Dapat mesej staf saya, pejabat saya di Bandar Baru Bangi kena pecah masuk. Lebih dari RM50,000 hilang. Beberapa kamera baru rakam ceramah, komputer riba, telefon bimbit semua serta ada wang tunai. Tergamam sekejap," katanya dimuat naik di Instagram milikinya.

Iklan

Bercerita lanjut, sebelum pulang, beliau menziarah banduan akhir dan berdakwah, namun tidak sangka didatangi seorang banduan akhir lelaki yang terbuka hati mahu memeluk Islam.

"Dia tiba-tiba terbuka hati dan ucap syahadah. Paling mengejutkan dia ucap menggeletar dan menangis.

Iklan

"Saya pun rasa nak menangis. Allahuakbar. Pengarah penjara di sebelah saya pun sebak menangis dan arahkan buka sel. Kami berpelukan. Dia menangis peluk saya.

"Allahuakbar siapa tahu banduan akhir menanti ke tali gantung tiba-tiba diberi hidayah. Allahuakbar. Allahuakbar. Terubat rasa walau sedih hilang pejabat, kena rompak," katanya.

Tambahnya lagi, semua banduan di sel itu menyambutnya dengan tangisan kerana mengenali dirinya.

"Semua kenal saya. Mereka hari-hari dengar ceramah saya. Mereka kata ya ALLAH dapat jumpa saya.

"Semua wajah bersih. Nampak sejuk wajah solat. Ada terkejut peluk saya menangis," tulis Ebit Lew.

Perkongsian video yang meruntun jiwa itu menarik perhatian netizen dan setakat jam 2.30 petang, video itu telah mencecah lebih 448,644 tontonan.