Pelayaran impian bertukar mimpi ngeri

Iklan
Kapal persiaran Diamond Princess. - Foto Agensi

BUKAN perjalanan yang menjadi tujuan utama tetapi sensasi menjelajah lautan yang diimpi-impikan.

Diamond Princess, salah sebuah kapal persiaran termewah di dunia, memberi semua pengalaman itu dalam pelayaran selama 14 hari merentasi perairan Asia.

Iklan
Iklan

Kapal 18 tingkat mirip hotel lima bintang itu meninggalkan Yokohama, Jepun pada 20 Januari lalu sebelum singgah di Hong Kong lima hari selepas itu. Ia kemudian berlepas ke Vietnam dan Taiwan sebelum berpatah balik ke Jepun iaitu ke Okinawa dan Yokohama.

Sebelum tiba ke destinasi terakhirnya iaitu Yokohama, seorang penumpang berusia 80 tahun yang mendarat di Hong Kong sebelum itu disahkan dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Iklan

Berita itu serta-merta mengubah semua jalan cerita. Kapal itu terpaksa dikuarantin 14 hari di Pelabuhan Yokohama sejak 3 Februari.

Seorang demi seorang daripada 3,700 penumpang Diamond Princess dikesan positif Covid-19. Sekurang-kurangnya 454 penumpang dijangkiti.

Iklan

Ada penumpang yang tidak dibenarkan keluar dari bilik selama 14 hari. Jika mahu berinteraksi dengan orang lain, dia perlu memakai topeng muka dan berdiri dari jarak dua meter.

Mujurlah sebahagian besar penumpang berjaya dipindahkan sejak kelmarin sekali gus mengakhiri kehidupan selama hampir sebulan di dalam ‘penjara terapung’ berkenaan.

Bagi Merak Jalanan, keterujaan bertukar mimpi ngeri dalam sekelip mata seperti dialami penumpang Diamond Princess itu adalah lumrah kehidupan.

Daripada riang ria kepada duka, daripada bahagia ke gundah-gulana, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Apa yang penting ialah bagaimana persediaan dan tindak balas kita dalam menghadapi perkara paling buruk yang mungkin terjadi dalam hidup kita, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan soal hidup mati. Jadi, waspadalah!