SEBERANG PERAI - Inisiatif sebuah masjid membantu tiga kanak-kanak dengan menyediakan 'sekolah' buat mereka adalah langkah terbaik dalam mengimarahkan masjid sebagai institusi membina kemajuan ummah.
Imam utama Masjid Daerah Seberang Perai Tengah Bandar Perda, Ustaz Abu Mansur Maturidi Mohd Romli berkata, tiga beradik berusia 8, 10 dan 13 tahun itu difahamkan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah ekoran tidak memiliki dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
"Kelahiran mereka tidak pernah didaftarkan kerana masalah pendaftaran pernikahan ibu bapa mereka di Siam, Thailand.
"Permasalahan mereka dikenal pasti sejak mereka menyertai Program Geng Masjid Junior," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun jelasnya, masalah tiga beradik itu telah dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah tersebut untuk tindakan selanjutnya.
"Sementara menunggu proses dokumentasi daripada pihak berkaitan, masjid mengambil peranan dengan menyediakan sekolah sementara buat mereka.
"Setelah pengenalan diri diperolehi mereka akan memasuki persekolahan yang sewajarnya seperti kanak-kanak lain," ujarnya.
Menurutnya, kelas pembelajaran itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi dan berakhir pada 12 tengah hari bertempat di dewan masjid.
"Tiga pelajaran teras diajar iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Fardu Ain. Kelengkapan pembelajaran juga disediakan meliputi beg sekolah, buku dan alat tulis.
"Diharap sekolah masjid ini akan memberikan mereka harapan untuk berdikari dalam kehidupan pada masa depan dengan memiliki kebolehan membaca dan mengira," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap orang ramai yang ingin melakukan kebajikan boleh membantu membiayai kos sekolah masjid tersebut dengan menyumbang ke akaun Bank Islam Masjid Daerah Seberang Perai Tengah 07052010006124.
Kisah penuh inspirasi itu mendapat pujian daripada netizen setelah dimuat naik di Facebook Masjid Daerah Seberang Perai Tengah hingga tular.
Menyifatkan tindakan pengurusan masjid adalah satu perkara yang baik, mereka berharap kanak-kanak itu dapat memanfaatkan bantuan tersebut.
"Tahniah atas keprihatinan pihak pengurusan masjid untuk membantu anak-anak kariah agar tidak keciciran dari menerima pendidikan walaupun serba kekurangan," ujar Khairul Hisham.
Bagi Hazlizul Ghazali,"Terbaik, semoga menjadi contoh dan dipermudahkan."