Status halal: Denda hingga RM5j jika kelirukan pengguna

Iklan

PUTRAJAYA - Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, perkara tersebut adalah berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

Iklan
Iklan

"Jika kesalahan dilakukan bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Nordin, peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini. Sementara masyarakat pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja.

Iklan

Beliau mengulas laporan pada 7 Januari lalu berhubung kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) Ayob Abd Majid yang mencadangkan Jakim perlu mewajibkan pengusaha restoran untuk memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Jelas Mohamad Nordin, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan dan ia adalah berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Iklan

"Setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) atau Majlis Agama Islam Negeri (Main).

"Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kpd semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak," katanya.

Mohamad Nordin menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan yang disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna.- Bernama