Mi racun tarikan pelancong ke Batu Pahat

Iklan
Antara menu yang cukup popular dan boleh dinikmati sekiranya berkunjung ke Batu Pahat iaitu mi racun gearbox (kanan) dan mi racun original.

BATU PAHAT - Kunjungan ke daerah ini tidak lengkap sekiranya anda tidak singgah menikmati mi racun.

Bagi yang tidak biasa, mungkin kedengaran menggerunkan, namun di sebalik namanya yang unik itu, tersembunyi keenakan mi racun yang sebenarnya langsung tidak berbahaya.

Iklan
Iklan

Pemilik gerai mi racun, Muhd Hussein A Jabar, 46, berkata, mi itu bukanlah beracun tetapi resapinya diubah suai daripada mi tomato yang boleh didapati dalam dua pilihan, iaitu mi racun gearbox dan mi racun ‘original’.

Sejarah mi racun berkenaan bermula daripada datuknya yang berasal dari India, Naina Mohd, yang datang ke negara ini pada tahun 1960-an dan ketika itu hanya menjual pelbagai jenis rojak, termasuklah rojak mi.

Iklan

"Timbul idea untuk membuat kelainan, kemudiannya atuk mencipta ‘rahsia’ resipi mi racun ini sehingga menjadi ‘ketagihan’ kepada pelanggan yang datang menikmatinya,” katanya ketika ditemui Bernama di gerai miliknya di Taman Sri Jaya di sini.

Menurut Muhd Hussein, ayah dan bapa saudaranya yang mewarisi resipi berkenaan turut memberikan resipi itu kepadanya dan tiga lagi sepupunya untuk meneruskan legasi kegemilangan mi racun yang hanya terdapat di Batu Pahat.

Iklan

Selain gerai miliknya, sepupunya turut membuka tiga lagi cawangan mi racun ini iaitu di Jalan Sultanah, Jalan Timah Sari dan Sri Gading.

"Walaupun kini terdapat empat gerai mi racun di daerah ini, namun rasanya tetap sama kerana keempat-empatnya mewarisi resipi yang sama, kerana resipi mi racun ini adalah warisan keluarga kami,” katanya.

Ramai pelanggan datang untuk menikmati mi racun original atau mi racun gearbox. - Foto pembaca

Muhd Hussein berkata, beliau tidak menghalang mana-mana peniaga lain untuk menggunakan nama mi racun kerana yang pasti, mi yang dihasilkannya mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Buat masa ini kami tidak merancang untuk membuka cawangan di luar daerah Batu Pahat, biarlah mi racun ini terus sinonim dengan dengan daerah ini... sebut sahaja mi racun akan teringat kepada Batu Pahat,” katanya.

Muhd Hussein berkata, semenjak beliau membuka gerai itu pada tahun 2010, ramai orang kenamaan serta selebriti berkunjung untuk menikmati sama ada mi racun original atau mi racun gearbox.

Beliau berkata, gerainya turut kerap menjadi lokasi persinggahan kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi yang berkunjung ke daerah Batu Pahat serta sekitarnya dan pelanggan yang paling jauh adalah pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Thailand.

"Antara yang kerap berkunjung ke sini adalah pelakon dan pelawak terkenal iaitu arwah Zaibo, yang pasti akan singgah apabila balik ke kampung isterinya di Rengit,” katanya.

Beroperasi setiap hari, kecuali pada Isnin minggu kedua dan keempat, perniagaan mi racun ini bermula jam 4 petang sehingga 11 malam. - Bernama