Tukang gunting OKU jadi pilihan

Iklan
Hasbullah sedang menggunting rambut pelanggan di kedainya.

KOTA BHARU - Teliti, kemas dan teratur. Itulah gambaran hasil kerja tukang gunting yang dilahirkan tanpa tangan yang sempurna, Hasbullah Hashim Liong, 30.

Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU), namun anak muda dari Kampung Ayer Channal itu tidak pernah berasakan kekurangan dirinya itu sebagai alasan untuk dia tidak boleh berdikari seperti orang lain.

Iklan
Iklan

Dilahirkan tanpa tangan kiri dan tidak sempurna di bahagian kanan, ia langsung tidak mematahkan semangat Hasbullah untuk memiliki sebuah kedai gunting rambut di kediamannya di Tanah Merah.

Mewarisi kepakaran arwah datuknya, Hasbullah kini menjadi tukang gunting kegemaran penduduk kampung dan mempunyai pelanggan tetap di sekitar Tanah Merah serta beberapa daerah yang terdekat.

Iklan

Berkongsi kerjayanya itu, Hasbullah berkata, setiap hari dia menerima lebih kurang 10 pelanggan termasuk yang datang dari jauh.

"Kadang-kadang waktu malam pun ada lagi yang datang. Selagi ada pelanggan yang mahu menggunting rambut, selagi itulah saya tidak tutup kedai.

Iklan

"Lagipun jarak antara kedai dan rumah tak jauh. Rumah saya depan kedai gunting rambut, jadi tak ada masalah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hasbullah berjaya membuktikan fizikal tidak sempurna bukan alasan untuk tidak boleh berdikari seperti orang lain.

Mengimbas kembali bagaimana dia boleh menjadi tukang gunting rambut, Hasbullah berkata, dia hanya menyedari kepakaran menggunting rambut yang dimilikinya itu ketika di sekolah menengah.

"Rakan-rakan minta saya gunting rambut mereka untuk mengelak daripada didenda sehingga akhirnya mereka menjadikan saya sebagai tukang gunting rambut mereka.

"Memang saya tidak menyedari langsung kemahiran saya ini sebab sebelum ini saya hanya lihat datuk menggunting rambut,” katanya yang meminati sukan sepak takraw dan selalu bermain bersama rakan sekampung jika mempunyai masa terluang.

Menurut Hasbullah, dia tidak pernah berasa kekok dengan keadaan fizikalnya itu dan sentiasa positif dalam segala hal yang dilakukan walaupun kadangkala pelanggan kurang yakin dengan kemampuan dirinya.

Menurutnya, selain mahir menggunting rambut, dia juga memiliki kepakaran membaiki telefon bimbit dan turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai di kedai guntingnya.