MARAN - Walaupun baru kali pertama mencuba sira buah sawit, ia pasti tidak akan mengecewakan kerana rasanya yang enak.
Kemanisan sira sawit itu menafikan persepsi bahawa buah sawit hanya digunakan untuk menghasilkan minyak masak dan produk tertentu sahaja.
Menu istimewa hasil air tangan dan kreativiti peneroka Felda Kekwa Jengka 5 di sini, Che Esah Hashim ternyata mendapat sambutan dan berpotensi untuk dikomersialkan.
Che Esah, 65, berkata, resipi sira buah sawit tersebut terhasil sekitar tahun 1979 kerana tiada kudapan dan makanan segera untuk dimakan ketika bersantai bersama keluarga ketika itu.
"Jadi, timbul idea memanfaatkan buah sawit sebagai kudapan petang atau sarapan pagi dengan merebus biji sawit kira-kira satu jam dan dimasukkan gula pasir serta gula batu.
"Tidak sangka pula resipi tersebut menjadi dan enak kerana lemak semula jadi yang terhasil daripada buah sawit,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia kemudiannya cuba membuat kuih bingka sawit mengikut resipi bingka ubi kayu.
"Hasilnya juga tidak mengecewakan kerana rasanya juga enak, setanding dengan rasa kuih bingka ubi kayu.
"Sira dan bingka sawit popular apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencubanya pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Felda Jengka 5 pada tahun lalu.
"Saya bercadang untuk mempatenkan resipi bingka sawit ini dalam masa terdekat,” kata Che Esah.