PLATFORM pulangan tunai dalam talian, ShopBack Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan lebih tinggi iaitu 200 peratus pada tahun lalu berbanding 2018.
Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, pertumbuhan itu didorong oleh populariti membeli-belah dalam talian dalam kalangan rakyat Malaysia selain pengenalan tinjauan dalam talian dan e-dompet serta kerjasama dengan rakan niaga mereka.
"ShopBack melancarkan model ganjaran dalam talian dalam bentuk pulangan tunai lima tahun lalu dan kini berkhidmat kepada lebih daripada 2.5 juta pengguna.
"Sehingga kini, ShopBack mempunyai lebih 500 peniaga rakan kongsi di Malaysia seperti Shopee, Lazada, Taobao, ZALORA, Hermo, FashionValet, Agoda, Booking.com dan KLOOK,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur kelmarin.
Eddy berkata, pengguna ShopBack telah memperoleh lebih RM60 juta pulangan tunai sehingga kini dan nilai terkumpul yang tertinggi pernah dicatatkan oleh seorang pengguna berjumlah RM69,145.64.
"Kami mendapati pengguna gemar membeli-belah antara jam 2 hingga 3 petang pada hari biasa.
"Bagaimanapun, ketika jualan mega berlangsung, pengguna akan memeriksa platform dalam talian sekitar jam 12 tengah malam hingga 1 pagi untuk mendapatkan diskaun terbaik dan membeli barangan promosi terhad,” katanya.
Beliau berkata, jualan 11.11 menyaksikan kenaikan jualan sebanyak 80 peratus pada 2018, diikuti oleh jualan pada 12.12 dan 9.9.
Bersempena dengan ulang tahun kelima Shopback, Eddy berkata, pengguna berpeluang memenangi tawaran menarik bermula 21 hingga 24 Februari 2020, antaranya membeli belah percuma bernilai RM50,000, 100 peratus baucar pulangan tunai serta perjanjian bonus eksklusif untuk Button ShopBack.
"Sebagai tanda terima kasih atas sokongan pengguna, kami memberikan mereka sehingga 100 peratus pulangan tunai.
"Lima peserta bertuah juga berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah bernilai RM10,000 setiap seorang,” katanya.
Sementara itu, ShopBack turut mengumumkan rakan niaga baharu mereka iaitu Dahmakan, OGAWA dan Maxx Sports.