PEMAIN Liverpool digesa melupakan kekalahan tipis 0-1 kepada Atletico Madrid pada saingan pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara di Stadium Metropolitano awal pagi tadi.
Sebaliknya menurut pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, rakan-rakan sepasukan The Reds perlu lebih bersedia dan fokus bagi perlawanan timbal balik kedua di Stadium Anfield yang dijadualkan berlangsung tiga minggu dari sekarang.
"Secara jujur kami mengetahui sejak awal bukan satu tugas mudah berperang dengan Atletico Madrid yang mendapat sokongan padu penyokong mereka di Stadium Metropolitano.
"Biarpun begitu jika dilihat gol diperoleh Atletico Madrid dan hanya satu-satu gol hasil daripada sepakan sudut. Pada perlawanan ini saya percaya Atletico Madrid cukup bernasib baik," katanya.
Pada perlawanan itu, gol minit keempat babak pertama daripada Saul Niguez sudah cukup memberikan bekalan satu gol menjelang timbal balik kedua-kedua pasukan di Stadium Anfield bulan depan.
Anak buah Jürgen Klopp menguasai 72.5 peratus penguasaan bola, namun gagal menterjemahkannya dalam bentuk gol ke atas tuan rumah.
Jelas Van Dijk,"Kami menguasai secara keseluruhannya perlawanan ini, namun gagal mencipta peluang yang mampu memberi ancaman kepada Atletico Madrid.
"Biarpun begitu, kami masih ada baki 90 minit lagi di Anfield bagi memperbetulkan dan mengubah keadaan semula."