'Tolong cari Ahmad Amirul Hafiz'

Iklan
Pelajar Maahad Tahfiz, Ahmad Amirul Hafiz Mohamad Shafini, 15, yang hilang sejak Khamis lalu.

KANGAR - Seorang bapa di sini meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anak lelakinya yang hilang sejak Khamis lalu.

Ahmad Amirul Hafiz Mohamad Shafini, 15, yang merupakan pelajar di sebuah maahad tahfiz di sini disedari hilang oleh gurunya selepas tiada di dalam bilik pada jam 8.15 malam.

Iklan
Iklan

Mohd Shafini Idris, 40, berkata, pada pagi Ahad lalu, dia mendapat maklumat mengatakan anak sulungnya itu berada di Stesen Keretapi Arau dan dilihat dalam keadaan keliru.

"Ada orang jumpa anak saya, dia kata anak saya seperti keliru dan tak ingat apa-apa, dia cuma sebut nama dia Hafiz dan hendak balik ke Sik, lain-lain soalan apabila diajukan dia tak boleh jawab.

Iklan

"Individu berkenaan terus menghantar anak saya naik kereta api namun sehingga sekarang saya masih belum mendapat sebarang perkembangan berkaitan anak saya sama ada dia turun di Stesen Keretapi Gurun ataupun Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, tanda yang mudah dilihat untuk mengecam anaknya adalah mempunyai ibu jari sahaja di tangan kirinya.

Iklan

"Saya sangat berharap anak saya berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat atau ternampak anak saya boleh hubungi saya di talian 013-4740491," katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar sejurus mengetahui berita tentang kehilangan anaknya Khamis lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan.

"Tindakan untuk mengesan mangsa masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelajar berkenaan, diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.