IPOH - Polis Perak menyiasat tindakan dua anggota yang terlibat dalam pertengkaran hingga mengacukan pistol di Balai Polis Pekan Baru di sini kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melibatkan pelbagai aspek termasuk jenayah.
"Ia adalah perselisihan faham dalaman yang mana siasatan telah dijalankan.
"Kita akan siasat dari segi jenayah dan siasatan di bawah JIPS. Ini perselisihan faham kerana tugas," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Ditanya mengenai perbuatan anggota mengacu pistol tersebut, Razarudin berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi di lokasi kejadian.
"Semasa bertugas mereka ada membawa pistol. Mengacukan itu kita siasat lagi. Kena siasat.
"Mereka bertugas memang ada pistol. Kita akan siasat dengan dapatkan keterangan daripada saksi. Mereka masih lagi bertugas," katanya.
Dalam kejadian itu, seorang anggota wanita telah meninggikan suara terhadap rakan setugasnya sebelum hilang pertimbangan dengan mengeluarkan pistol dari pinggangnya.
Bagaimanapun, tindakan wanita itu berjaya dihalang oleh rakan setugas lain yang menyaksikan kejadian itu.
Sementara itu, Razarudin memandang serius akan penglibatan pegawai dan anggota dalam penyalahgunaan dadah serta kegiatan perjudian setiap daerah.
"Tindakan JIPS dan narkotik dijalankan secara berkala selain meneruskan pemeriksaan mengejut saringan urin manakala kegiatan perjudian pula perlu dibanteras dengan mengambil tindakan setiap minggu di semua daerah.
"Kita mahu mengekalkan bahawa kita tidak ditohmah atau terlibat dengan kegiatan rasuah. Integriti yang baik perlu ditunjukkan dan terlihat (kepada masyarakat). Itu mustahak," katanya.