PUTRAJAYA - Membuang stigma yang mengaitkan isu kemiskinan dengan kawasan luar bandar merupakan antara usaha dan cabaran yang mahu ditangani Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi tahun 2020.
Untuk itu, 2020 menjadi tahun implementasi buat kementerian itu dalam melaksanakan gerak kerja dengan lebih komprehensif di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang turut menjurus kepada pembangunan sosioekonomi dan modal insan masyarakat, terutama dengan mewujudkan kawasan luar bandar yang kondusif didiami, mempunyai peluang pekerjaan dan mempunyai pertumbuhan ekonomi.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ketika mula menerajui kementerian itu pada 2018, beliau melihat sebahagian besar peruntukan dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur dan fizikal melibatkan berbilion ringgit, namun ironinya pada masa sama, stigma kemiskinan penduduk di luar bandar masih wujud.
"Betul kita perlukan infrastruktur dan fizikal tetapi apa yang lebih penting adalah untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar dan pembangunan modal insan. Oleh itu, selain penyediaan prasarana ini, kita akan fokuskan lagi kepada program peningkatan pendapatan dan merapatkan jurang ekonomi masyarakat luar bandar dan bandar," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata, DPLB 2030 yang dilancarkan tahun lepas, menjadi tunjang kepada agenda pembangunan luar bandar secara holistik, inklusif dan mampan menerusi program-program baharu yang telah disusun atur.
Rina berkata, pihaknya melihat keperluan untuk menyediakan infrastruktur lengkap terutamanya kemudahan internet yang kini menjadi antara keperluan penting dalam bidang perniagaan yang diceburi usahawan luar bandar.
"Maksudnya sekarang walaupun tinggal di luar bandar, namun dengan adanya internet, mereka boleh berniaga sampai ke luar negara. Contoh berniaga bawang goreng, jual baju kurung, ada banyak permintaan sampai boleh jadi jutawan, tak perlu berhijrah ke bandar lagi.
"Disebabkan itu, kita bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan sentiasa berhubung rapat supaya internet di luar bandar dapat dipertingkatkan bukan sahaja dari segi kelajuannya tapi dari segi kawasan liputannya mesti lebih luas," katanya.
Dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM10.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan luar bandar tahun ini, berbanding RM9.7 bilion tahun lepas.
Katanya, dalam mewujudkan jutawan luar bandar, pihaknya akan turut mempromosikan lagi program DesaMall@KPLB tahun ini iaitu pemasaran produk secara dalam talian melalui kerjasama dengan platform e-dagang dalam talian seperti Lazada, Shopee dan eBay.
"Kita tengok tahun lepas kita masukkan produk usahawan dalam pasaran dalam talian, jualan mereka meningkat sampai 200 peratus, ada yang 273 peratus malah sampai 400 peratus. Setiap bulan kita minta maklumat jualan mereka dan membuat pemantauan," katanya.
Pada masa yang sama, Rina berkata, KPLB turut bercadang memperluaskan lagi Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) yang merangkumi tanah terbiar diusahakan dengan tanaman, contohnya tanaman jagung di Kampung Sidam, Kulim, Kedah, dan usaha itu boleh menggalakkan lebih ramai rakyat berhijrah dari bandar ke luar bandar.
Usaha meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, katanya, akan turut diperhebat melalui program Desa Harapan yang bertujuan membangunkan kampung sebagai pusat pemacu ekonomi, ekopelancongan dan modal insan.
Melalui program itu, ia akan membuka ruang kepada syarikat korporat membantu kementerian merancang dan meneliti potensi yang ada pada setiap kampung, sebelum cadangan pembangunan ekonomi dirangka dan dilaksana.
Rina berkata, tumpuan tahun ini juga akan diberikan kepada program Desa Pintar, satu inisiatif bertujuan memperkasa ekonomi luar bandar melalui digitalisasi dan pelaksanaan teknologi canggih.
Tanpa meminggirkan golongan emas di luar bandar, beliau berkata, pihaknya turut mengubah suai program-program khas untuk golongan tersebut memandangkan tahun 2030, Malaysia dijangka menjadi negara tua, dengan 15 peratus penduduk akan menjadi warga emas.
"Sebab itu kita ada juga program DocMove, anak-anak yang berada di perantauan hanya perlu bayar RM250 sebulan dan akan ada doktor yang datang ke rumah untuk periksa kesihatan ibu bapa,” katanya sambil menambah sebanyak RM3.3 bilion telah dibelanjakan KPLB dalam pelbagai program yang memberi manfaat kepada 1.49 juta orang tahun lepas. - Bernama