MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam memaklumkan bahawa Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan.
Rang Undang-undang tersebut yang dipinda daripada Akta Pendidikan 1996 akan mewajibkan pendidikan dari peringkat rendah hingga menengah dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.
Ini merupakan nilai tambah terhadap sistem pendidikan negara selepas Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib dikuatkuasakan pada 1 Januari 2003, mewajibkan anak-anak yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa mendaftar di sekolah rendah.
Walaupun kadar keciciran murid menengah menunjukkan trend penurunan pada tahun 2023 iaitu 0.83 peratus berbanding 0.99 peratus pada 2022, namun perkara tersebut tidak dipandang ringan oleh kerajaan.
Penting untuk melahirkan rakyat berpendidikan bukan sahaja untuk melahirkan generasi berkualiti, malah bagi memastikan negara ditadbir dengan baik pada masa hadapan.
Bagaimanapun sejak mutakhir ini, amat malang apabila sebilangan masyarakat kita seolah-olah tidak memandang pendidikan itu sebagai satu kepentingan.
Sesetengah orang pula beranggapan masih boleh hidup mewah walaupun tanpa pelajaran tinggi. Lihat sahaja baru-baru ini, seramai 10,000 pelajar dilaporkan tidak hadir bagi kertas Bahasa Melayu pada peperiksaan SPM 2024.
Malah pada 2 Januari lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, daripada lebih 400,000 calon, kira-kira 10,000 orang masih belum mengesahkan kehadiran untuk peperiksaan SPM 2024 yang berlangsung pada tarikh tersebut hingga 6 Februari ini.
Justeru, pengenalan dasar baharu mewajibkan pendidikan sehingga ke sekolah menengah adalah antara salah satu usaha yang wajar bagi mengatasi isu keciciran pendidikan pada masa akan datang.
Apabila RUU tersebut berjaya digubal nanti, kita berharap masalah keciciran pendidikan sekurang-kurangnya dapat diminimumkan. Namun, usaha ini sebenarnya bukan terletak kepada KPM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
Misalnya, jika seseorang pelajar itu tercicir kerana masalah kemiskinan keluarga, kementerian lain berkaitan perlulah main peranan.
Tidak guna kalau kita berbangga melahirkan ramai pelajar cemerlang di universiti setiap tahun, tetapi di peringkat akar umbi, masih ramai tak cukup ilmu di dada.