KUANTAN - Hasrat seorang pesara untuk menikmati hasil kerjanya tidak kesampaian apabila menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud sehingga kerugian RM145,388.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa lelaki warga emas berusia 63 tahun itu bermula selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang menawarkannya kerja sambilan secara dalam talian pada 5 Disember tahun lalu.
Menurutnya, suspek turut menerangkan pekerjaan tersebut melibatkan promosi barangan elektrik dalam talian.
"Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 25 peratus sekiranya mendaftar sebagai ahli syarikat dan bagi setiap barangan elektrik yang dipromosikan, dia akan dibayar komisen antara dua hingga lapan peratus.
"Mangsa tertarik dengan tawaran itu dan mula membuat tugasan pertama pada hari berikutnya sebelum melakukan transaksi bayaran RM4,018 ke akaun yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Yahaya berkata, mangsa kemudian berhasrat untuk menarik diri selepas tidak lagi berminat dengan tugasan tersebut.
"Mangsa menghubungi suspek memaklumkan perkara itu dan meminta semua keuntungan yang dijanjikan. Bagaimanapun suspek meminta mangsa membuat sejumlah bayaran lagi sebelum dibenarkan menarik diri dan menerima wang keuntungan," katanya.
Beliau berkata, mangsa berjaya diperdaya hingga melakukan 14 transaksi bayaran ke 12 akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya dengan jumlah keseluruhan mencecah RM145,388 sebelum menyedari dia ditipu.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
"Buat semakan nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," ujarnya.