SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap pasar raya dan pengilang yang menjual produk sandwic 'ham and cheese' dengan mencetak logo halal tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi menegaskan, penggunaan logo tersebut tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
"Isu ini membangkitkan kebimbangan terhadap kepercayaan umat Islam dalam status halal produk yang dibeli.
"Pihak korporat termasuk pengilang dan pengedar perlu bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi peraturan serta menghormati sensitiviti pengguna,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk 'ham dan cheese' yang dijual dalam KK Mart di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur tidak mempunyai SPHM manakala syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan jabatan berkenaan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan penguatkuasaan serta mengheret pihak yang menyalahgunakan logo halal ke muka pengadilan.
Dalam pada itu Nabil menjelaskan, prinsip Rukun Negara mengingatkan masyarakat di negara ini mengenai kepentingan hidup harmoni dengan saling menghormati kepercayaan setiap individu.
"Sebagai sebuah negara majmuk, sensitiviti agama perlu dihormati manakala sebarang provokasi atau tindakan melulu yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan.
"Kita perlu bersama memperkukuh keharmonian masyarakat dan menjaga perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara ini," ujarnya.