KUALA PILAH - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah tindakan tegas harus dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam sebenar berdasarkan Enakmen Syariah Negeri.
Baginda bertitah, pada September tahun lalu negara dikejutkan pendedahan mengenai penderaan kanak-kanak dan isu buruh paksa yang sekian lama berlaku di rumah kebajikan dan perniagaan kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
"Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan turut membuat siasatan dan mendapati ajaran dan kepercayaan yang oleh adalah sama seperti al-Arqam yang diwartakan pada 2016 sebagai sesat dan menyeleweng.
"Oleh itu, supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi, beta menyeru pihak berkuasa agama negeri sentiasa membuat pemantauan dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-77 baginda di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Selasa.
Baginda juga menyeru kepada rakyat beragama Islam lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikuti sebarang pengajian ilmu agama.
"Ini dapat mengelakkan kita daripada mengikuti ajaran salah dan mempunyai agenda terselindung di sebalik perkataan Islam. Beta amat berharap dan berdoa agar syiar Islam terus kekal terpelihara di negeri ini," titah baginda.
Baginda turut bertitah mengenai penekanan terhadap tiga agenda utama dalam memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini yang mana ketiga-tiga agenda tersebut adalah sasaran untuk ditangani dengan baik pada 2025 oleh pentadbiran kerajaan baginda.
"Beta disembah maklum terdapat tiga agenda utama dalam memastikan kesejahteraan rakyat pada masa ini iaitu kemurniaan dan penghayatan aqidah Islamiah yang benar, kecaknaan terhadap perkembangan teknologi terkini dan pengurusan alam sekitar yang mampan dalam merancang pembangunan negeri," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan kepada kerajaan mengambil kira perkembangan teknologi terkini dalam memodenkan pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri.
"Aplikasi teknologi terkini dalam pentadbiran mampu mengoptimumkan proses kerja, menjimatkan kos dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan. Justeru teknologi terkini perlulah diperkasakan penggunaannya dan dimasukkan sebagai antara agenda utama pembangunan negeri.
"Di samping itu, adalah amat penting untuk kita melindungi dan memulihara alam sekitar. Usaha ini perlulah diambil kira dalam setiap agenda pembangunan dirancang dan memastikan setiap projek pembangunan dijalankan tidak memberi kesan negatif kepada persekitaran semula jadi," titah baginda.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima pingat dan bintang kebesaran serta mengingatkan supaya memelihara kurniaan diberikan kerana ia mencerminkan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
" Kurniaan ini merupakan tanda penghargaan atas jasa dan bakti diberikan khususnya kepada beta, kerajaan beta dan Negeri Sembilan. Justeru, penerima mempunyai amanah dalam menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan ini dengan memastikan imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara," titah baginda.
Terdahulu, seramai 555 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir diadakan pada tiga sesi dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendahului senarai penerima.