TUMPAT - Kedutaan Besar China turut berkongsi beban dan kesedihan dialami mangsa banjir di negara ini terutamanya di Kelantan dan Terengganu dengan menyalurkan bantuan bernilai RM100,000.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, bantuan turut membuktikan hubungan erat antara China-Malaysia yang terjalin sejak sekian lama merangkumi organisasi masyarakat dan sivil termasuk dalam menjalankan aktiviti kebajikan awam.
"Tahun 2024 adalah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia dan tahun persahabatan bagi kedua-dua negara.
"Baru-baru ini Malaysia dilanda banjir dan kami datang memberi bantuan kepada mangsa. Bak kata pepatah, 'bukit sama didaki, lurah sama dituruni' bermaksud persahabatan yang sangat karib,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 300 bantuan pek makanan berjumlah RM50,000 kepada mangsa banjir di Kampung Pulau Gorek di sini pada Selasa.
Bantuan disalurkan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan.
Dua hari lalu, Yujing turut menyampaikan bantuan 500 pek makanan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir di Terengganu.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak Malaysia untuk terus bekerjasama terutama dalam mengatasi kesukaran dan memberi lebih banyak bantuan menyumbang kepada masyarakat di kedua-dua negara.
"Banyak perkara yang boleh dikongsi pada masa depan dan mencipta kerjasama lebih baik untuk kebaikan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Fatma Zaharah Mohd Ali, 40, berkata, bantuan diterima dapat membantunya meneruskan semula kehidupan selepas terjejas akibat banjir.
"Pada November lalu, rumah saya di Kampung Chat Hilir di sini ditenggelami banjir setinggi 0.7 meter selama seminggu," katanya.