Ujian air kencing kepada pengunjung konsert tidak praktikal - AADK

Iklan
Ruslin berucap semasa majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa.
Foto: AADK. Ruslin berucap semasa majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa.
Foto: AADK.
Ruslin berucap semasa majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa. Foto: AADK.

KAJANG - Cadangan melakukan ujian air kencing terhadap pengunjung sebelum memasuki konsert secara besar-besaran adalah tidak praktikal.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia berikutan proses pengumpulan dan analisis sampel air kencing mengambil masa lama.

Iklan
Iklan

Namun katanya, pemeriksaan atau ujian air kencing boleh dibuat secara rawak terhadap individu tertentu.

Jelasnya, ia berdasarkan pemerhatian atau kecurigaan terhadap kelompok pengunjung tertentu yang mungkin membawa barang terlarang seperti dadah.

Iklan

"Jika dilakukan secara rawak, ia tiada isu. Tetapi bukannya dilakukan kepada semua pengunjung.

"Ini kerana jika buat ujian urin kepada keseluruhan mereka yang ada, ia tidak praktikal kerana proses pengambilan sampel bukan perkara mudah dilakukan dalam kelompok pengunjung yang besar," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan bulanan AADK 2025 di Ibu Pejabat AADK, di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pegawai AADK yang berada di lapangan memerlukan justifikasi kukuh atau kecurigaan yang munasabah sebelum melaksanakan ujian urin.

Tegasnya, perkara paling penting adalah kempen kesedaran yang perlu diuar-uarkan kepada seluruh masyarakat termasuk pada hari sesuatu konsert dianjurkan.

Malah katanya, kerjasama erat perlu dilakukan AADK bersama penganjur dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi mencegah kejadian tidak diingini seperti berlaku di Sunway, Selangor pada ambang tahun baharu.

Ruslin (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli AADK semasa majlis Amanat Ketua Pengarah dan perhimpunan bulanan AADK 2025 di ibu pejabat AADK di Kajang, Selangor pada Selasa.Foto: AADK.

"Kita lihat perkara utama perlu dititik beratkan adalah kempen pencegahan itu sendiri.

"AADK perlu mempergiatkan lagi usaha memupuk kesedaran dan melibatkan kerjasama dengan Karyawan untuk membantu pihak promoter dan industri.

"Kita tidak mahu industri hiburan dikaitkan dengan dadah sedangkan ia hanya melibatkan segelintir kecil individu sahaja yang mengambilnya," ujarnya.

Tambahnya, AADK akan meningkatkan kehadiran pegawai dan anggota pencegahan di lokasi konsert dan meletakkan logo anti dadah pada tiket sebagai langkah pencegahan menerusi kaedah 'omnipresence'.

Selain itu katanya, antara kaedah lain boleh dilaksanakan termasuk memaparkan video kempen anti dadah sebelum konsert.

"Apa yang penting kita perlu cari satu penyelesaian secara bersama dan AADK bersedia berbincang dengan semua pihak terlibat.

"Di peringkat AADK, kita memang memandang serius perkara ini dan saya akan bincang butiran berkenaan dengan agensi berkenaan,” ujarnya.