Pelan hala tuju MAIS 2025-2030 dimuktamad hujung Januari ini

Iklan
Abdul Aziz (tengah) menandatangani plak semasa Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2025 di Auditorium Dahlia pada Selasa. Abdul Aziz (tengah) menandatangani plak semasa Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2025 di Auditorium Dahlia pada Selasa.
Abdul Aziz (tengah) menandatangani plak semasa Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2025 di Auditorium Dahlia pada Selasa.

SHAH ALAM - Pelan hala tuju Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) 2025-2030 akan dimuktamadkan penghujung Januari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pelan itu akan dibawa kepada kelulusan Mesyuarat MAIS sebelum dipersembahkan untuk perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada teras utama merangkumi akidah, pendidikan, dakwah dan keluarga, masjid, surau dan pembangunan ummah.

"Tumpuan juga kepada kebajikan dan ekonomi Ummah, pengukuhan kutipan zakat, wakaf, mal dan sumber am, perundangan serta kehakiman syariah di samping tadbir urus dan kecemerlangan organisasi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2025 di Auditorium Dahlia di sini pada Selasa.

Abdul Aziz berkata, pembentukan hala tuju baru itu mengambil kira agenda inisiatif Pelan Strategik MAIS (PSM) 2020-2024 yang ditambah baik dan menggabungkan inisiatif baharu dalam mendepani ujian semakin mencabar dalam membangunkan sosio ekonomi umat di negeri ini.

Iklan

Beliau memberitahu, MAIS bersama agensi dan anak syarikatnya pada tahun ini juga menekankan lima objektif sebagai agenda utama dalam pembinaan petunjuk prestasi utama (KPI) dan Belanjawan 2025.

Jelas beliau, lima objektif utama itu disokong oleh 12 strategi yang merupakan faktor penting dalam membangunkan ekonomi dan sosial ummah di negeri Selangor.

"Lima objektif utama tersebut ialah pengukuhan akidah, memajukan kesejahteraan sosial ummah, meningkatkan ekonomi, menyampaikan komunikasi dakwah berkesan dan memastikan penyampaian perkhidmatan responsif dan dinamik.

"Hala tuju bagi tahun 2025 ini adalah menyokong kepada gerak kerja hala tuju pentadbiran agama Islam Selangor," ujar beliau.

Katanya, sebanyak 40 pelan tindakan utama telah dirancang untuk dilaksanakan di bawah 12 strategi yang telah diluluskan.

Dalam pada itu, tambah beliau, MAIS sentiasa peka dan bertindak serius terhadap titah Sultan Selangor berkaitan hal ehwal agama, sosial dan ekonomi ummah.

Tegas beliau, titah berkaitan isu penyebaran fahaman bertentangan dengan ajaran Islam, pengurusan dan pengauditan masjid dan surau serta pentauliahan penceramah perlu diambil perhatian serius supaya dapat diselesaikan dengan baik.

Menurut beliau, data dan statistik di negeri Selangor berkaitan bilangan ajaran sesat yang masih aktif, statistik gejala sosial mahu pun jenayah syariah dan statistik penceraian pasangan Islam di negeri ini perlu diberi perhatian.

"Usaha perlu digembleng bersama tidak kira sesama agensi di bawah pentadbiran Islam mahu pun agensi dan pihak luar bagi memastikan syiar Islam dapat dimartabatkan," katanya.

Beliau memberitahu, selain itu, isu-isu strategik antaranya kapasiti sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mencukupi, pemutihan sekolah tahfiz, bilangan muzakki dan pewakaf masih belum mencapai tahap baik berbanding populasi Islam di negeri ini.

"Isu dan cabaran ini perlu diselesaikan dengan sebaiknya dalam memastikan imej dan reputasi tidak terjejas.

"Sudah tiba masa MAIS memberi fokus yang lebih kepada prestasi kewangan dan pelaburan, agensi dan anak syarikatnya, selain hendaklah memastikan setiap pelaburan yang dibuat memberi pulangan yang baik kepada MAIS," ujarnya.