PORT DICKSON - Tindakan segelintir pihak yang menipu ketika melakukan kerja-kerja pendawaian di rumah ibadah telah membuka hati seorang pemuda bagi menawarkan perkhidmatan sama secara percuma untuk masjid dan surau di daerah ini sejak tahun lalu.
Malah, Fathir Muhammad Fakrullah Hisamudin, 27, turut menawarkan perkhidmatan percuma untuk servis alat pendingin hawa selain mengecat masjid dan surau, dengan syarat segala perkakasan disediakan.
Menurutnya, semuanya bermula selepas dia dihubungi seorang imam yang bertanya mengenai kerja-kerja pendawaian sebuah surau.
"Saya sebenarnya baru saja buat perkhidmatan pendawaian dan servis alat pendingin hawa ini. Suatu hari, ada imam hubungi saya untuk mendapatkan khidmat pendawaian di surau. Dia juga cerita surau ini pernah ditipu untuk kerja-kerja pendawaian.
Tak sangka pula ada orang yang sanggup menipu untuk buat kerja-kerja pendawaian di rumah ALLAH. Dari situ saya terbuka hati untuk tawarkan kemahiran yang saya ada secara percuma," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Fathir kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Bercerita jerihnya dia memulakan perniagaan Fathir berkata, usahanya itu tidak akan membuahkan hasil tanpa sokongan dan dorongan isterinya.
Dia yang mempunyai sijil kemahiran dalam bidang pendawaian mengakui pada awalnya agak sukar untuk memulakan perniagaan.
"Masa mula-mula menceburi bidang ini, saya dan isteri pergi dari rumah ke rumah di sekitar Port Dickson untuk edarkan risalah tentang servis yang ditawarkan.
"Hanya selepas seminggu baru saya dapat pelanggan dan tempoh bagi menunggu pelanggan seterusnya mengambil masa yang agak lama sehingga ada ketikanya saya hampir putus asa," katanya yang menawarkan perkhidmatan tersebut secara dari rumah ke rumah.
Bagaimanapun katanya, dia yakin dengan rezeki ALLAH dan perniagaan yang diusahakannya itu bertambah baik apabila dia menerima projek servis alat pendingin hawa di pejabat.
Fathir berkata, faktor yang mendorongnya melakukan kebaikan adalah apabila dia melihat ada perubahan positif dalam kehidupan dan perniagaan yang diusahakannya..
"Dari tiada kedai, sekarang saya dalam proses nak buka kedai. Jika tiada masalah Insya-ALLAH bulan depan akan beroperasi.
"Apa yang boleh saya katakan adalah rezeki saya dipermudahkan ALLAH. Nak bantu dari segi kewangan tak mampu, jadi saya bantu dengan cara begini dan ini juga saya peluang untuk mengumpul pahala," katanya.