PETALING JAYA – Tindakan seorang pekerja di pasar malam mencuri 597 karton susu bernilai RM22,000 dua tahun lalu, mengundang padah apabila dia dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Hamim Heji, 34, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Amira Sariaty Zainal.
Mahkamah memerintahkan bapa kepada tiga anak itu dipenjara bermula Selasa.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama dua lagi individu yang belum dituduh mencuri dalam bangunan, iaitu 261 karton Susu UHT Coklat satu liter dan 336 karton Susu UHT Full Cream satu liter, kepunyaan Dutch Lady Milk Industries Berhad bernilai RM22,000.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kilang susu terbabit di Jalan Prof Khoo Kay Kim di sini, antara jam 4.51 pagi, 1 Julai dan 4.43 pagi, 22 Julai 2023.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman, penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, M Soosai Raj merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang minimum kerana dia perlu menjaga isteri dan anak-anak berusia tujuh, lima dan tiga tahun.
"Dia hanya membantu rakannya berniaga di pasar malam, malah pendapatannya sebanyak RM900 sebulan digunakan untuk menyara keluarga.
"Saya mohon dia dihukum hukuman penjara sehari kerana ini merupakan kesalahan pertamanya,” kata peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) terbabit.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah mengambil kira kerugian yang ditanggung pihak kilang berkenaan.
"Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam,” katanya.