BANK Rakyat tampil dengan memperkenalkan filem pendek durasi sembilan minit bertajuk Aur dengan Tebing sempena ulang tahunnya yang ke-70.
Filem pendek mengangkat tema Tujuh Dekad dan Selamanya menggambarkan komitmen Bank Rakyat yang sentiasa ada untuk menyokong rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur, kaum, bangsa dan latar belakang sepanjang perjalanan hidup mereka.
Aur dengan Tebing merupakan sebuah filem pendek menyentuh hati, menampilkan kisah keutuhan persahabatan tiga sahabat iaitu Adam, Raj dan Ah Chong melalui pelbagai cabaran hidup demi mencapai impian dan kebahagiaan.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sejak penubuhan bank itu 70 tahun lalu, Bank Rakyat sentiasa menyediakan penyelesaian kewangan holistik dan komprehensif bagi memastikan setiap individu dan perniagaan mendapatkan sokongan dan bantuan kewangan.
"Sokongan dan bantuan kewangan yang diperlukan ini adalah untuk merealisasikan impian dan mengatasi cabaran hidup mereka digambarkan dalam kisah perjalanan Adam, Raj dan Ah Chong dalam filem ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas berakhirnya sesi tayangan filem pendek Aur dengan Tebing yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff di Aurum Theatre, The Gardens Mall di Kuala Lumpur pada Selasa.
Filem pendek itu dibarisi pelakon popular tanah air, Beto Kusyairy sebagai Adam, Khir Rahman sebagai Cikgu Razali, Aghonderan Sahadevan sebagai Rajin sementara bagi watak ketika kanak-kanak dibintangi MN Firas (Adam) dan S Yasshan (Raj).
Filem ini mengangkat perjalanan persahabatan mereka sejak kecil.
Berlatar belakang sebuah kampung yang tenang, Aur dengan Tebing membawa penonton merentasi dua garis masa yang penuh nostalgia.
Pada zaman kanak-kanak mereka, Adam, Raj dan Ah Chong membesar dalam suasana yang ceria, bersatu di sebalik perbezaan mereka, tetapi diikat oleh hubungan persahabatan yang erat.
Dalam ketenangan hidup di kampung, mereka mencipta pelbagai kenangan manis bersama, namun rintangan dan cabaran kehidupan yang mendatang membawa mereka ke arah berbeza.
Mohd Irwan menambah, Aur dengan Tebing bukanlah sekadar filem pendek biasa, ia adalah sebuah lakaran kehidupan tentang cabaran, hubungan dan pencapaian yang mendefinisikan setiap pelanggan Bank Rakyat yang sentiasa menjadi tulang belakang sejak tujuh dekad lalu.
"Dengan berkongsi kisah yang memberi inspirasi ini, kami mengajak penonton untuk merenung perjalanan kehidupan mereka bersama Bank Rakyat dan menghargai hubungan telah sedia terjalin bagi menjadikan setiap detik kehidupan lebih bermakna," ujar beliau.
Filem pendek Bank Rakyat ini yang dihasilkan oleh Tangerine Films Sdn Bhd akan disiarkan melalui semua saluran platform media sosial rasmi @myBANKRAKYAT.