PUTRAJAYA - Sistem e-Sepakat yang diperkenalkan sejak 2009 bertujuan menggerakkan kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu perpaduan secara digital akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sebelum ini sistem berkenaan hanya boleh digunakan oleh pegawai Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sahaja.
"Kalau dahulu e-Sepakat untuk pegawai kita namun sekarang kita buka kepada orang awam yang ada maklumat atau isu yang sensitif di peringkat akar umbi.
"Inisiatif itu dibuat bagi memastikan semua pihak dapat menggunakan sistem berkenaan. Semua daerah kita ada," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Amanat bersama kakitangan KPN di Kompleks F di sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud.
Menerusi majlis tersebut, Aaron mengumumkan tema tahun 2025 adalah 'Harmoni dalam Kepelbagaian'.
Tambah Aaron, pada tahun 2024 sebanyak 231 kes direkodkan dengan melibatkan pelbagai isu.
"Antaranya adalah isu agama sebanyak 103 kes, berhubung kenyataan berbaur kebencian (89 kes) dan 39 kes aduan melibatkan perkauman.
"Bagi mengatasi dan menguruskan perkara ini, kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya," katanya.