SERDANG - Tindakan individu berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita di kawasan perumahan dekat Bangi di sini mengundang padah apabila diberkas pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita tempatan berkaitan kejadian.
"Mangsa ketika itu berada di kawasan apartment berkenaan sebelum dipanggil seorang lelaki yang berada dalam sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna merah.
"Lelaki terbabit kemudian bertindak menunjuk kemaluannya kepada mangsa sebaik mangsa menghampiri kereta berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, siasatan kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek kira-kira jam 12.15 tengah malam.
"Suspek merupakan lelaki tempatan berumur 32 tahun itu diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
"Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Proton Iriz," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan direman tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa diperlakukan tidak senonoh oleh individu di sebuah kawasan perumahan.
Wanita terbabit mendakwa individu itu memanggilnya sebelum menunjukkan kemaluan kepadanya.
Kejadian difahamkan berlaku ketika wanita terbabit baru selesai membeli makanan di lokasi berdekatan.