Polis lengkap kertas siasatan terhadap KJ

Iklan
Razarudin Husain. Razarudin Husain.
Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan bekas menteri, Khairy Jamaluddin yang mengeluarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Azalina Othman Said berkaitan Titah Adendum.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini selesai mengambil keterangan bekas menteri itu pada Isnin dan kini polis sedang melengkapkan kertas siasatan.

Iklan
Iklan

"Kertas siasatan akan disiapkan dalam masa tujuh hari sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Razarudin mengesahkan Khairy dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) pada jam 3 petang di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara di sini.

Iklan

Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.

Jumaat lalu, Setiausaha Politik kepada Azalina Othman, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul.

Iklan

Menurut Suraya, kenyataan yang dibuat Khairy adalah tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.

Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar 'Keluar Sekejap' mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy dikatakan turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.