KOTA TINGGI – Biarpun keadaan banjir semakin baik, namun rata-rata penduduk terjejas yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) tetap bersedia untuk berdepan banjir gelombang kedua yang dijangka berlaku mulai esok (Rabu) hingga Sabtu ini.
Tinjauan Sinar Harian ke PPS SJK(C) New Kota pada Selasa mendapati rata-rata penduduk terjejas banjir sudah pun melakukan persediaan selain mengharapkan agar gelombang kedua banjir kali ini tidak seburuk seperti yang diramalkan.
Bagi juruteknik kilang, Azrin Iskandar, 37, dia telah melakukan persediaan seadanya untuk berdepan banjir gelombang kedua kali ini dan berharap tidak berlarutan.
"Persediaan untuk gelombang kedua macam biasa... dah siap sedia apa yang patut. Kita pun duduk di PPS dan kami dibenarkan pulang untuk mengemas apa yang patut.
"Barang-barang penting kita dah letak di atas, macam yang besar pun kita dah simpan dan segala dokumen penting kita bawa ke sini (PPS).
"Boleh kata dah bersedialah untuk gelombang kedua ni...harapnya tak teruklah,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, pekerja restoran, G Sivabakeyam,43 berkata, dia telah membawa kesemua dokumen penting miliknya dan keluarga ke PPS yang diduduki ketika ini sebagai persiapan berdepan gelombang kedua banjir.
Katanya, kesempatan pulang ke rumah sebelum ini, telah dimanfaatkan bagi mengemaskini barang-barang keperluan termasuk segala dokumen penting berkenaan.
"Kalau sekali lagi (air) naik macam ni, saya nak bawa barang penting ke sini (PPS). Kalau tinggalkan di rumah, risau pula takut air naik lebih tinggi.
"Kalau dokumen-dokumen penting ni rosak, memang susah,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu muda, Nuratika Kamaruddin, 22, dari Taman Mawai mengharapkan agar gelombang kali kedua banjir tidak teruk kerana mahu pulang segera ke rumah.
Katanya, dia mahu segera pulang ke rumah demi memastikan keselesaan anak sulungnya yang berusia empat bulan.
"Saya harap gelombang kedua tak seteruk mana dan harap dapat cepat balik untuk pasti anak saya selesa untuk tidur dan sebagainya.
"Lagi pun, banjir kali ini saya rasa macam terlalu cepat sangat, dengan anak kecil lagi dan sebab itulah saya harap sangat gelombang kedua ni tak teruk,” katanya.