TAMPIN - Seorang penganggur yang disyaki pengedar dadah diberkas di tepi jalan Felda Pasir Besar, Gemas di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 7.45 petang, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin telah menahan seorang lelaki berusia 35 tahun.
"Hasil pemeriksaan di dalam beg pinggang yang dipakainya telah menjumpai (3) peket plastik lut sinar dan (1) tiub straw disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat 45.50 gram.
"Selain itu, (1) paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 8.50 gram dan (1) peket plastik lut sinar mengandungi daun-daun kering mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 3.50 gram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dadah terbabit dianggarkan bernilai RM2,177.50 dan ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis morphine.
Tambahnya, semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
"Suspek kini direman lima hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a).
"Hasil soal siasat awal mendapati, dadah tersebut untuk dijual di sekitar kawasan Gemas dan Jempol," katanya.