BAYAN LEPAS - Bank Islam telah menandatangani perjanjian pembiayaan bernilai RM105.2 juta dengan Solar Voltech bagi tujuan projek solar dalam mengukuhkan peranan sebagai pemangkin kemampanan.
Solar Voltech ditubuhkan pada 2014 adalah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Premier Holdings.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pembiayaan itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Menurutnya, ia mencerminkan usaha kolektif Bank Islam sebagai pemangkin kepada matlamat Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
"Setiap panel solar yang dibiayai, setiap kerjasama hijau yang terbentuk adalah satu langkah ke arah memastikan masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk kita, tetapi untuk generasi akan datang.
"Kerjasama antara Bank Islam dengan Solar Voltech bagi memperkasa teknologi hijau telah bermula sejak tahun 2024 melibatkan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM105.2 juta," katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembiayaan Projek Penjanaan Solar Antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Solar Voltech Sdn Bhd pada Selasa.
Perjanjian tersebut disempurnakan antara Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohd Tahir dengan Ketua Pegawai Operasi Solar Voltech Sdn Bhd, Izwanaim Ismail.
Tambah Muazzam, Bank Islam komited untuk meneruskan usaha dalam memacu kemampanan hijau melalui penyelesaian pembiayaan inovatif.
"Sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh syariah, Bank Islam bertekad untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia di samping mencipta impak berpanjangan terhadap perniagaan, masyarakat dan alam sekitar.
"Menerusi sokongan pembiayaan sebanyak RM105.2 juta ini, ia juga menyumbang kepada keseluruhan portfolio pembiayaan hijau dan mampan Bank Islam, yang telah berkembang kepada RM4.96 bilion setakat Oktober 2024," katanya.
Menurut Muazzam, ia menjadikan jumlah pembiayaan yang diluluskan untuk sektor tenaga boleh diperbaharui sebanyak 58.1 peratus daripada keseluruhan pembiayaan hijau setakat Oktober 2024.
"Selaras dengan kejayaan ini, Bank Islam telah menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampan kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025.
"la bukan satu matlamat yang mudah tetapi kami percaya bahawa ia mampu dicapai, seiring dengan peningkatan kesedaran pelbagai pihak terhadap kepentingan dan kebaikan yang dibawa oleh usaha yang bersifat mesra alam," jelasnya lagi.
Sementara itu, Izwanaim berkata, secara dasarnya, pelaburan bagi pembangunan projek solar ini mampu menjana tenaga bersih untuk keperluan ratusan rumah, bangunan komersial dan industri.
"Dengan kapasiti yang dirancang untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat, projek ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil malah mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.
"Manfaat jangka panjangnya termasuk penjimatan kos tenaga, peningkatan kualiti udara dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi hijau.
"Dan yang lebih penting, ia membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang tahun 2050, sejajar dengan komitmen global terhadap perubahan iklim," katanya.