Semarakkan gelombang al-Quran mampu lahirkan hafiz, hafizah dalam keluarga

Iklan
Penganjur dan tetamu bergambar bersama. Penganjur dan tetamu bergambar bersama.
Penganjur dan tetamu bergambar bersama.

SEREMBAN - Misi melahirkan generasi penghafaz al-Quran dalam sebuah keluarga mampu dicapai dengan menyemarakkan gelombang kitab suci berkenaan secara berterusan.

Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, al-Quran bukan sekadar kitab suci untuk dibaca dan difahami tetapi ia adalah mukjizat agung yang wajib dijaga dan dipelihara, termasuk melalui hafazan.

Iklan
Iklan

"Menghafaz al-Quran merupakan tradisi mulia yang diwarisi daripada Nabi Muhammad SWT dan generasi awal Islam. Tradisi ini telah melahirkan generasi ulama yang kukuh ilmu dan akhlaknya.

Faudzinaim (dua dari kanan) bersama Ghazirah (kanan) ketika hadir merasmikan Seminar Internasional: Rahsia Hafal Al-Qur’an Sebulan di Dewan Tun Hussien Onn, Kolej Mara Seremban baru-baru ini. Faudzinaim (dua dari kanan) bersama Ghazirah (kanan) ketika hadir merasmikan Seminar Internasional: Rahsia Hafal Al-Qur’an Sebulan di Dewan Tun Hussien Onn, Kolej Mara Seremban baru-baru ini.
Faudzinaim (dua dari kanan) bersama Ghazirah (kanan) ketika hadir merasmikan Seminar Internasional: Rahsia Hafal Al-Qur’an Sebulan di Dewan Tun Hussien Onn, Kolej Mara Seremban baru-baru ini.

"Ia bukan sahaja memperkayakan jiwa, malah membentuk peribadi yang unggul. Seorang penghafaz al-Quran akan sentiasa berada dalam penjagaan ALLAH dan mendapat kelebihan yang besar di dunia dan akhirat," katanya ketika merasmikan Seminar Internasional: Rahsia Hafal Al-Qur’an Sebulan di Dewan Tun Hussien Onn, Kolej Mara Seremban baru-baru ini.

Iklan

Dalam pada itu beliau berkata, penganjuran seminar berkenaan pada peringkat antarabangsa itu jelas menunjukkan komitmen penganjur dalam menyatukan umat Islam di seluruh dunia melalui kecintaan terhadap al-Quran sekali gus mencapai misinya.

Peserta beratur menunggu giliran untuk mendaftar seminar.

"Jabatan Mufti Negeri Sembilan akan sentiasa memberi sokongan padu dan berharap juga Rumah Ngaji Negeri Sembilan mendapat sokongan daripada agensi-agensi yang lain.

Iklan

"Ia terutamanya dalam usaha mencapai misi #MengQurankan Bangsa MengIkhlaskan Ummah dan juga misi mewujudkan serta melahirkan satu hafiz atau satu hafizah dalam sebuah keluarga, menjelang tahun 2050.

"Melalui program seperti ini, saya yakin akan lahir lebih ramai generasi penghafaz al-Quran yang bukan sahaja mampu menghafaz tetapi juga memahami, menghayati, dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian," katanya.

Antara 500 peserta yang hadir pada seminar tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, seminar tersebut berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai latar belakang dengan penyertaan hampir 500 orang.

"Diharapkan usaha ini menjadi inspirasi, motivasi dan dorongan kepada umat Islam untuk lebih mencintai al-Quran dan mempelajarinya dengan tekun, sekali gus suluhan al-Quran menerangi hati-hati saudara di jajaran Nusantara ini," katanya.

Susulan daripada seminar tersebut beliau berkata, peserta digalakkan mempraktikkan kaedah Yadain Litahfizhil Qur'an.

"Bagi mereka yang ingin mengikuti program lebih intensif pada cuti persekolahan sesi ketiga ini, pihak penganjur membuka peluang kepada semua, pelajar, ibu bapa dan individu untuk menyertai Program Karantina Tahfizh Al-Qur'an Rumah Ngaji NS 1.0, selama dua minggu dengan sasaran hafalan 10 juz di Madrasah Tahfiz Yamin Jelebu," katanya.

Antara peserta yang hadir pada seminar tersebut.

Sebagai rekod, seminar tersebut merupakan anjuran Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Wanita PERKIM Seremban dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas hasil kolaborasi dengan Yayasan Karantina Tahfiz Nasional, Indonesia.

Turut bekerjasama Jabatan Mufti Negeri Sembilan serta beberapa agensi lain termasuk Pusat Islam USIM.