LIPIS - Seekor tapir bertina seberat kira-kira 125 kilogram (kg) ditemui mati dipercayai dilanggar di tepi jalan Kerambit-Kuala Lipis berdekatan Kampung Jeram Bungor di sini pada Selasa.
Penduduk Kampung Puyu, Shafei Ibrahim, 63, berkata, penemuan bangkai tapir itu pada jam 6.45 pagi ketika dia dalam perjalanan menghantar isterinya ke Hospital Lipis.
Menurutnya, ketika itu dia memandu secara perlahan kerana keadaan jalan yang berkabus sebelum melihat seekor haiwan terdampar seakan tapir kerana warna kulit badannya putih dan hitam di tepi sebelah kanan jalan.
"Saya segera memberhentikan kereta, mendekati haiwan liar itu dan mendapati ia sudah tidak bernyawa serta kemungkinan tapir ini dilanggar kenderaan.
"Saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Lipis bagi memaklumkan kejadian tersebut dan menunggu hingga kakitangan Perhilitan sampai ke lokasi," katanya.
Shafie yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) berkata, anggota Perhilitan kemudiannya mengesahkan tapir betina seberat 125kg itu mati akibat dilanggar kenderaan.
"Bila diberitahu haiwan liar itu mati, saya sempat menyentuh badannya dan ia masih panas. Ini menunjukkan haiwan liar itu baharu sahaja meninggal dunia di tepi jalan ini," katanya.
Dia turut mendakwa, tapir yang ditemui mati dilanggar itu adalah spesies sama yang masih berkeliaran di Kampung Putu sejak awal tahun ini selain turut muncul di Kampung Kerambit dan Kampung Jeram Bungor.
"Haiwan tersebut biasanya keluar dari hutan berhampiran untuk mencari makanan di sekitar penempatan penduduk.
"Sejak beberapa tahun lalu, Perhilitan telah memasang papan tanda berlogo tapir untuk memberi amaran kepada semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui kawasan yang sering dilintasi haiwan liar ini," ujarnya.