BALING - Penduduk di Kupang yang sebelum ini kecoh dengan misteri kebakaran secara berturutan, sekali lagi digemparkan dengan bau petrol di halaman rumah.
Salahudin Mahmud, 30, mendakwa, ketika sedang tidur, mereka sekeluarga dikejutkan dengan ketukkan pintu serta kehadiran penduduk kampung yang memaklumkan terhidu bau petrol di persekitaran rumahnya di Kampung Bendang Padang, Kupang, kira-kira 12 tengah malam Selasa.
"Saya terkejut apabila diberitahu halaman rumah berbau petrol dan terus keluar melihat persekitaran.
"Bau itu hanya dalam tempoh sekitar 15 hingga 20 minit sahaja kemudian hilang, kami takut kerana berlaku di rumah sendiri, sebelum ini hanya dengar cerita kawasan lain sahaja," dakwanya.
Menurut Salahudin, dirinya rasa bimbang jika berlaku perkara buruk, tambahan pula ibunya, Esah Mad Husin, 63, kurang sihat dan adiknya pula berstatus orang kurang upaya (OKU).
Katanya, akibat kejadian, dia tidak boleh lena tidur memikirkan keselamatan keluarga selain bimbang ia berulang.
Sebelum itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad (bukan nama sebenar), 40-an mendakwa, kejadian terhidu bau petrol itu amat memeranjatkan.
"Salah seorang rakan kami terhidu bau minyak petrol yang kuat ketika berkawal membuat rondaan rumah penduduk kampung.
"Disebabkan itu, saya dan beberapa orang rakan lain bergegas ke rumah terbabit serta ternyata ada bau minyak petrol itu, tetapi disebabkan keadaan gelap, kami tak nampak di mana kesannya,"dakwanya.
Dakwa Ahmad, kejadian itu telah tersebar luas dalam sekelip mata, sehingga mendapat perhatian penduduk kampung lain yang sedang membuat rondaan di mana rata-rata terus bergegas ke lokasi sehingga mencecah kira-kira 200 orang mengepung kawasan tersebut.
Bagaimanapun, pencarian diteruskan sehingga kira-kira 100 meter ke kawasan belukar, namun tidak menemui sebarang kesan.
"Kami ikut jejak bau petrol, mula-mula ada bau, kemudian hilang, bau tempat lain pula, tetapi sampai sudah tak jumpa suspek meskipun ada penduduk dakwa terdapat kesan tapak kasut dan bekas rumput dipijak sedangkan kawasan tersebut bukan laluan biasa.
"Agak pelik juga bau petrol yang kuat tadi tiba-tiba hilang sekelip mata, namun begitu usaha mencari suspek tetap diteruskan sehingga subuh pagi tadi,"dakwanya.
Jelasnya, biarpun keletihan, penduduk tetap berkawal di persekitaran kampung sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa polis mengklasifikasikan misteri sembilan kejadian kebakaran yang berlaku secara berturutan di DUN Kupang bermula 24 Disember tahun lalu sehingga 2 Januari 2025 adalah perbuatan khianat.
Bagaimanapun, pada 12 Januari lalu, satu lagi kebakaran misteri berlaku membabitkan sebuah rumah di Kampung Charuk Kapas, Kupang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Azmi Mokhtar berkata, siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan.