Pemancing terkejut jumpa pistol, 67 peluru hidup tepi Pantai Robina

Iklan
Pantai Robina, Butterworth. Gambar kecil: Hamzah Pantai Robina, Butterworth. Gambar kecil: Hamzah
Pantai Robina, Butterworth. Gambar kecil: Hamzah

GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang sedang memancing di Pantai Robina, Butterworth terkejut apabila menemui sebuah kotak yang mengandungi sepucuk pistol, kelopak peluru dan peluru hidup di tepi pantai berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, susulan penemuan itu, lelaki berkenaan telah menghubungi Balai Polis Telok Air Tawar pada jam 4.30 pagi, Selasa untuk memaklumkan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati lelaki itu telah menjumpai sebuah kotak plastik yang dibalut dengan pembungkus plastik.

"Pegawai penyiasat bersama pasukannya yang dibantu oleh Unit Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mendapati kotak itu mengandungi senjata api berserta peluru hidup.

Iklan

"Kita merampas kotak berkenaan manakala suspek dalam kejadian ini masih belum dikenal pasti. Polis sedang berusaha mengesan suspek yang disyaki terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati, kotak berkenaan mengandungi sepucuk pistol berserta dua kelopak peluru masing-masing mengandungi 10 butir peluru hidup, tiga butir peluru hidup jenis S&B Luger 9mm, lima butir R-P Luger 9mm dan dua butir Thai Arms 9mm.

Iklan

"Di dalam kotak itu juga mengandungi satu kelopak peluru 21 sentimeter (cm) mengandungi lima butir peluru, empat butir peluru hidup jenis S&B Luger 9mm dan sebutir R-P Luger 9mm.

"Selain itu, ia juga mengandungi satu kotak berbalut loytape berwarna kelabu tertera perkataan 'bullet master' mengandungi 14 butir peluru hidup jenis R-P Luger 9mm, 12 butir S&B Luger 9mm dan sebutir Thai Arms 9mm," katanya.

Hamzah berkata, polis turut menemui dua balutan plastik berwarna hitam mengandungi kelopak peluru berserta sarung tanpa jenama dan laser AVD10 LXD berwarna hitam.

"Kami amat komited dan proaktif dalam melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971/Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," tambahnya.