SHAH ALAM - Budaya rasuah dalam kalangan warga asing seperti memberi ‘suapan’ kepada pihak berkuasa perlu ditangani secara serius agar ia tidak terus membarah sekali gus mencemarkan reputasi negara.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, susulan itu, pendekatan yang lebih berkesan dengan meningkatkan pengawasan dan memupuk budaya antirasuah perlu dilaksanakan di semua peringkat masyarakat termasuk pihak berkuasa.
"Kerajaan juga perlu memastikan undang-undang anti-rasuah dilaksanakan secara tegas dan adil. Ini termasuk memperkukuh kuasa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Selain itu, Muhammad Mohan berpendapat bahawa menjatuhkan hukuman yang berat kepada pemberi dan penerima rasuah dapat mengurangkan budaya tersebut dalam kalangan masyarakat.
"Ini kerana rasuah bukan sahaja melanggar undang-undang bahkan merosakkan integriti dan kepercayaan dalam sistem keadilan.
"Namun, kita tidak boleh terburu-buru membuat tuduhan atau menyalahkan warga asing semata-mata. Di sebalik penerima, pasti ada pemberi yang perlu dikenal pasti,” katanya.
Pada Isnin, dua lelaki warga Pakistan ditahan oleh SPRM kerana disyaki cuba merasuah anggota polis.
Suspek masing-masing berusia 20-an dan 40-an itu dipercayai cuba memberi ‘suapan’ sebanyak RM500 kepada anggota polis yang menahannya kerana memandu motosikal tanpa lesen memandu dan nombor plat tidak lengkap mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas tindakan dua lelaki warga asing tersebut, Muhammad Mohan berkata, ia merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat.
"Apabila tindakan sedemikian berlaku di negara kita, pihak berkuasa harus mengambil langkah tegas seperti yang ditunjukkan oleh dua anggota polis terbabit.
"Kita berharap semua pihak dapat mencontohi tindakan mereka dengan menyerahkan pemberi rasuah itu kepada pihak SPRM,” ujarnya.