Tambah baik infrastruktur jalan raya - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke rumah mangsa kemalangan maut yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Sepauk, Nenasi di sini hari ini. - Foto Bernama Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke rumah mangsa kemalangan maut yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Sepauk, Nenasi di sini hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke rumah mangsa kemalangan maut yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Sepauk, Nenasi di sini hari ini. - Foto Bernama

PEKAN - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu infrastruktur jalan raya di negeri ini ditambah baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Baginda bertitah pemasangan tanda keselamatan dan lampu di lebuh raya serta jalan kampung terutamanya di kawasan selekoh perlu diberi perhatian untuk keselamatan pengguna.

Iklan
Iklan

"Saya dimaklumkan kekurangan lampu misalnya di kawasan Karak (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong) dan saya hendak pergi periksa dahulu (kerana) ini antara komen saya yang dengar dan minta untuk disuarakan.

"Selain daripada infrastruktur, saya juga hendak mengingatkan pemandu untuk memeriksa keadaan kereta. Kadangkala keadaan kenderaan tidak baik (tetapi) kita paksa bawa (pandu) ke suatu destinasi," titah baginda.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan mencemar duli menyantuni waris lima sekeluarga yang maut akibat kemalangan jalan raya di KM65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin pada Sabtu lepas, di Kampung Sepauk, di sini hari ini.

Baginda turut mengingatkan pemandu supaya sentiasa berhati-hati terutamanya semasa hujan atau keadaan gelap selain perlu berhenti rehat jika berasa letih.

Iklan

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 asnaf terdiri daripada penduduk setempat di Masjid Nenasi di sini.

Sementara itu, Semek Muda, 62, yang kehilangan anak perempuannya Rahimah Awang Muda akibat kemalangan itu, menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Pahang yang mencemar duli ke kediamannya dan memberi kata semangat kepada mereka sekeluarga.

"Baginda berpesan supaya banyak bersabar. Saya berserah kepada Allah S.W.T dan reda dengan pemergian mereka sekeluarga. Rahimah merupakan tulang belakang keluarga dan sering membantu saya, menyebabkan kehilangannya meninggalkan kesan kepada keluarga," katanya.

Pada 11 Januari lepas, Rahimah, 38, dan suami Hamzah Zahari, 53, serta anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4, maut selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina. - Bernama