SHAH ALAM - Terpedaya kononnya mempunyai kesalahan jenayah, seorang warga emas kerugian hampir RM1 juta akibat penipuan 'phone scam'.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis di Daerah Gombak berkaitan jenayah phone scam membabitkan warga tempatan berusia 62 tahun.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan pesara syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM997,105 akibat penipuan tersebut.
Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa melalui panggilan telefon.
"Suspek memaklumkan mangsa mempunyai kesalahan jenayah iaitu menyalahguna produk 'skincare', mempunyai waran tangkap kes dadah serta kes pengubahan wang haram.
"Suspek meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi mengelakkan waran tangkap dikeluarkan ke atasnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Hussein berkata, mangsa telah membuat dua kali pindahan wang secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza bagi mengelakkan dirinya ditangkap atas kesalahan yang kononnya telah dinyatakan oleh suspek.
Tambah beliau, suspek juga meminta mangsa untuk memuat naik gambar kad ATM bahagian depan dan belakang milik mangsa.
Menurut beliau, setelah memuat naik gambar tersebut, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan.
Ekoran laporan polis dibuat mangsa, beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kata beliau, orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan menyamar sebagai penjawat awam secara dalam talian.
"Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk membuat semakan dan pengesahan tentang kewujudan panggilan seumpama itu dengan agensi berkenaan," ujarnya.