Chalet terjejas dibadai ombak besar, pemilik dakwa rugi hampir RM500,000

Iklan
Tempat rehat yang dibina dikhuatiri roboh akibat ombak besar Tempat rehat yang dibina dikhuatiri roboh akibat ombak besar
Tempat rehat yang dibina dikhuatiri roboh akibat ombak besar

BACHOK - Beberapa pemilik chalet di pesisir Pantai Kandis di sini terjejas teruk berikutan air pasang besar dan ombak tinggi yang membadai pantai berkenaan sejak dua hari lalu.

Mereka mendakwa air pasang besar berlaku sebanyak dua kali sehari bermula jam 5.30 petang hingga 8 malam dan jam 10 malam hingga awal pagi manakala ombak pula setinggi lebih tiga meter.

Iklan
Iklan

Pengurus sebuah chalet, Nurfaiziana Othman, 42, berkata, ombak tinggi yang membadai kawasan chalet mengakibatkan berlaku 'mini ladam' dan anak sungai yang merosakkan pemandangan sekitarnya selain meninggalkan longgokan sampah yang dihanyutkan ombak.

Mohd Anas membersihkan kerusi yang dilanda ombak di hadapan chalet milik keluarganya. Mohd Anas membersihkan kerusi yang dilanda ombak di hadapan chalet milik keluarganya.
Mohd Anas membersihkan kerusi yang dilanda ombak di hadapan chalet milik keluarganya.

"Sudah empat kali kami membersihkan kawasan ini sejak kelmarin namun malam tadi ombak besar sekali lagi membadai kawasan chalet mengakibatkan beberapa pokok ru tumbang dan meranapkan pondok tempat berehat serta gerai kecil kami di tepi pantai," katanya ketika ditemui di lokasi itu pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, dua bulan lalu pihaknya telah memasang cerucuk besi bagi mengelakkan ombak besar namun usaha itu tidak menampakkan hasil.

Mohd Azwan (kiri) membersihkan kawasan chalet miliknya.

"Kami mengalami kerugian hampir RM500,000 dan semua kos itu mungkin meningkat untuk penyelenggaraan dan pembaikan semula," katanya.

Iklan

Jelasnya lagi, walaupun sudah biasa dengan suasana air pasang namun kali ini sangat besar sehingga ada penduduk yang mendakwa kejadian dua malam lalu sangat serius.

Nurfaiziana memberitahu, buat masa ini mereka terpaksa menutup operasi chalet kerana bimbang keselamatan pelanggan sementara proses penyelenggaraan dilakukan.

Keadaan pokok di Pantai Kandis akibat air pasang besar yang menghakis pantai.

CROSS-HEADING: Bawa sampah, rosakkan lanskap

Sementara itu, Mohd Azwan Ab Aziz, 30, yang menguruskan chalet keluarganya terkejut dengan kejadian ombak besar membawa banyak sampah selain merosakkan lanskap di hadapan chalet itu.

Katanya, air pasang turut menyebabkan tebing pasir di hadapan kawasan penginapan runtuh dan berlaku hakisan lebih enam meter ke arah chalet berkenaan.

Cerucuk besi yang dipasang tidak mampu menahan ombak besar.

"Kami terpaksa melakukan penyelenggaraan dan pembersihan sebelum menerima tetamu yang sudah membuat tempahan sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun jelas Mohd Azwan, biasanya air pasang berlaku hingga tiga hari dan keadaan akan kembali seperti biasa.

"Kami sudah lali dengan fenomena air pasang besar ini namun pada tahun ini ombak kuat yang membadai agak luar biasa sehingga ramai pemilik chalet terjejas," katanya.

Adiknya, Mohd Anas Ab Aziz, 27, memberitahu, kos untuk pembinaan benteng terlalu tinggi menyebabkan pemilik memilih melakukan penyelenggaraan sendiri mengikut kemampuan mereka.

"Kami menggunakan jengkaut dan membaiki kerosakan yang perlu sahaja kerana tidak mampu membina benteng.

"Alhamdulillah, setakat ini chalet kami tidak mengalami kerosakan teruk tetapi tetap berwaspada kerana sudah berlaku hakisan serius," katanya.

CROSS-HEADING:Bimbang keselamatan pelanggan

Seorang lagi pemilik chalet, Mohd Syahidan Samsudin, 33, pula mengambil keputusan tidak membuka tempahan dalam tempoh ini kerana enggan mengambil risiko keselamatan pelanggan.

Menurut Mohd Syahidan, ramai pemilik chalet sepanjang Pantai Melawi hingga Pantai Tok Bali di sini terkesan selepas berlaku air pasang besar.

"Penduduk di kawasan pantai ini mencari rezeki dengan membina chalet serta bilik penginapan dan usaha itu mendapat sambutan bukan sahaja pelancong domestik malah antarabangsa," katanya.

Jelasnya, setiap tahun banyak lanskap menarik yang dibina di kawasan itu tetapi rosak akibat dibadai ombak besar pada musim tengkujuh.

"Kami berharap ada pihak yang dapat membantu sekurang-kurangnya membina benteng dengan kos paling minimum bagi mengelakkan hakisan.

"Pesisir pantai di sini sangat cantik dan landai sesuai untuk membantu meningkatkan pelancongan di negeri ini namun tiada penyelenggaraan khusus dari pihak kerajaan," katanya.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya seminggu masa diambil untuk membersihkan persekitaran yang dilanda ombak besar itu.

"Saya juga khuatir dengan tempat rehat yang dibina di kawasan ini dihanyutkan ombak berikutan kejadian air pasang yang berlaku pada setiap tahun," katanya.