KUANTAN- Polis Kuantan menafikan dakwaan terdapat aktiviti kutipan derma dilakukan oleh tiga wanita yang mengaku mewakili persatuan pesara polis di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dakwaan tersebut mula tersebar dalam satu hantaran di Facebook yang mendedahkan ketiga-tiga individu berkenaan meminta derma dari kedai ke kedai bagi membeli peralatan seperti kerusi roda.
Malah katanya, mereka turut memberikan pelekat lambang polis kepada orang awam yang menghulurkan sumbangan.
"Persatuan pesara polis menafikan ada menjalankan sebarang aktiviti meminta derma.
"Hasil semakan dengan cawangan pelesenan IPD kuantan juga mengesahkan tiada sebarang permohonan atau kelulusan dari persatuan pesara polis untuk lesen kutipan derma di bawah akta pungutan rumah ke rumah dan jalan 1947," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Wan Mohd Zahari menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang aktiviti derma yang melibatkan nama polis dari mana-mana individu atau persatuan.
"Masyarakat juga dinasihatkan untuk membuat semakan dan segera laporkan kegiatan tersebut ke mana-mana balai polis berdekatan.
"Mereka juga boleh hubungi terus bilik gerakan ibu pejabat polis daerah Kuantan di talian 09-5652089 sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan," katanya.