MEMBAKUT - Seorang pekerja kontraktor maut akibat terkena renjatan daripada tiang elektrik ketika melakukan kerja pemasangan internet di Kampung Sinoko, Jalan Bambangan, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika dihantar ke hospital.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang.
Katanya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 28 kilometer dari BBP Kimanis.
"Menurut laporan, terdapat seorang lelaki terkena renjatan elektrik dan menurut rakan mangsa, dia terkena di tiang elektrik ketika pemasangan internet sebuah syarikat jalur lebar.
"Mangsa telah dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum pasukan bomba tiba dan disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian telah melakukan operasi bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 5.12 petang," katanya.