SHAH ALAM - Dua pandangan berbeza dalam UMNO mengenai Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyebabkan berlaku pertembungan dalam parti itu.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, sebelah pihak mahukan tindakan yang lebih agresif berhubung titah tersebut demi keadilan Najib, manakala satu lagi bersimpati dengan kedudukan ahli UMNO dalam Kerajaan Perpaduan disebabkan perkongsian kuasa.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Selayang itu, banyak kritikan berhubung isu adendum tersebut tertumpu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sahaja.
"Cuma isu adendum ini tidak secara langsung terkena kepada pemegang jawatan dalam kerajaan daripada UMNO, tetapi yang sering disebut ialah Azalina.
"Walaupun beliau salah seorang penerima enkuiri yang dihantar oleh peguam Najib, kapasitinya sekadar menyediakan sekretariat iaitu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dari segi tempat, dokumen dan sebagainya. Kebetulan ia berada di bawah kementerian tersebut.
"Tetapi, Azalina tiada dalam Lembaga Pengampunan, beliau juga tidak boleh buat Peguam Negara atau menteri wilayah jawab kepadanya kerana tiada kuasa. Jadi, disebabkan beliau menteri undang-undang, namanya terpalit sehinggakan ahli atau bukan ahli UMNO hala serangan terhadapnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi ke-471 bertajuk Titah Adendum: Krisis Perlembagaan atau Politik yang disiarkan secara langsung bertempat di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat iaitu Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Pada 6 Januari lalu, pasukan pembelaan bagi pihak Najib memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah, disembunyikan daripada umum.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, perintah terbabit wujud dan ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menurutnya, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar juga mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.
Bukan itu sahaja, beliau turut membacakan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang, bertarikh 4 Januari lalu dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Terbaharu, Azalina yang juga ketua penerangan UMNO meminta semua pihak khususnya ahli UMNO untuk tidak membuat sebarang spekulasi membabitkan Titah Adendum kerana dibimbangi menimbulkan subjudis.
Jelasnya, perkara berkenaan perlu diserahkan semula kepada Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
Hasnal berpandangan, Azalina sepatutnya mengeluarkan penjelasan lebih awal bagi membersihkan semula namanya daripada dikritik orang awam atau pemerhati politik.
"Ia kerana beliau bukan penerima titah dan tiada kapasiti untuk melaksanakannya cuma tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kemuka afidavit, ini sedikit sebanyak menjadi satu titik untuk meredakan kelompok UMNO.
"Mereka merasakan bahawa semuanya berpunca daripada Ahmad Zahid juga dan kerana peranannya itulah beliau dilihat melakukan perkara sewajarnya. Jadi, saya rasa dari segi pergolakan UMNO itu tidak sangat," ujarnya.