Lebih 30 jam jemaah umrah terkandas berkampung mahu tuntut semula wang

Iklan
Jemaah berkampung di pekarangan syarikat setakat jam 12 tengah malam Selasa. Foto ihsan mangsa. Jemaah berkampung di pekarangan syarikat setakat jam 12 tengah malam Selasa. Foto ihsan mangsa.
Jemaah berkampung di pekarangan syarikat setakat jam 12 tengah malam Selasa. Foto ihsan mangsa.

SHAH ALAM - Mangsa yang gagal diterbangkan ke Tanah Suci Makkah sudah berkampung di pekarangan syarikat pengendali umrah lebih 30 jam sejak pagi Isnin hingga malam Selasa demi menuntut kembali wang masing-masing.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fisa berkata, setakat ini difahamkan sekitar 20 jemaah mula menerima bayaran balik seperti mana dijanjikan.

Iklan
Iklan

Menurut wanita terbabit, wang bagi kumpulan pertama dan kedua akan diselesaikan sebelum jam 6 pagi ini.

"Kumpulan ketiga pula, pemilik syarikat akan hadir ke ibu pejabat untuk berbincang dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama ahli jemaah lain bagi urusan pembayaran semula.

Iklan

"Jadi, bagi penerbangan seterusnya, ada yang turun padang untuk buat ‘refund’ siap-siap,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci Makkah, namun ditunda syarikat pengendali umrah.

Iklan

Salah seorang jemaah yang ingin dikenali sebagai Ida mendakwa, pihaknya diberitahu tentang penangguhan tersebut pada petang Ahad.

Menurutnya, alasan diberikan syarikat berkenaan adalah hotel penginapan dibatalkan oleh pihak Arab Saudi.

Terbaharu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akhbar Khan memaklumkan, syarikat pengendali umrah tersebut berdepan tindakan penggantungan operasi selama tujuh hari kerana didakwa gagal menerbangkan jemaah ke Tanah Suci.

Jelasnya, tindakan itu bakal berkuat kuasa pada Rabu sekiranya syarikat berkenaan gagal membuat pemulangan wang sehingga malam Selasa.

Fisa memberitahu, dia juga masih belum menerima 'refund' sekitar RM30,000 daripada syarikat berkenaan.

"Jemaah semua okay tapi kami nak duit kami balik sahaja. Mustahil kami nak leburkan duit kepada agensi pelancongan yang bukan-bukan.

"Sebelum ini, syarikat terbabit memang tiada masalah, kami buat tempahan pada Mei tahun lepas, masa itu tak ada isu.

"Konsepnya tak ada rezeki, kami bukan suka-suka mahu diperbodohkan," ujarnya lagi.