'Ada perjuangan tidak terlihat'

Iklan
Mohd Ikmal (tengah) bersama Azri (kanan) dan Raja Mohd Faiz bergambar dengan berlatarbelakangkan mural di bandar raya Kuantan. Mohd Ikmal (tengah) bersama Azri (kanan) dan Raja Mohd Faiz bergambar dengan berlatarbelakangkan mural di bandar raya Kuantan.
Mohd Ikmal (tengah) bersama Azri (kanan) dan Raja Mohd Faiz bergambar dengan berlatarbelakangkan mural di bandar raya Kuantan.

DI sebalik keindahan mural menghiasi dinding bangunan di sekitar bandar raya Kuantan, terdapat kisah tersembunyi mengenai perjuangan pelukis yang merasakan karya mereka semakin terpinggir.

Mural sering menjadi tarikan pelancong bukan sahaja melambangkan kreativiti tetapi menceritakan kisah, emosi dan identiti komuniti.

Iklan
Iklan

Apa Khabar Rakyat kali ini, menerusi Wartawan Sinar Harian, NORAWAZNI YUSOF menyingkap cabaran dihadapi pelukis mural yang jarang dikenali tetapi menghasilkan karya seni memukau.

Menurut pelukis mural, Mohd Ikmal Abdul Manan, 29, cabaran terbesar dihadapi adalah kesukaran mendapatkan pengiktirafan pelbagai pihak.

Iklan
Sebahagian hasil seni dihasilkan pelukis mural di Kuantan. FOTO IHSAN PROJECT ZEROSIX, gambar kecil: Mohd Nordin Sebahagian hasil seni dihasilkan pelukis mural di Kuantan. FOTO IHSAN PROJECT ZEROSIX, gambar kecil: Mohd Nordin
Sebahagian hasil seni dihasilkan pelukis mural di Kuantan. FOTO IHSAN PROJECT ZEROSIX, gambar kecil: Mohd Nordin

Dia yang dikenali dengan gelaran Jun berkata, ini disebabkan kurangnya pemahaman dalam kalangan masyarakat mengenai nilai seni mural dan sumbangannya dalam memperkaya ruang awam serta budaya seni negara.

Anak muda yang hampir lima tahun terlibat dalam seni lukis mural itu memberitahu, pelukis mural sering berhadapan konflik antara kreativiti dan jangkaan klien.

Iklan

"Awalnya, kami tidak mempunyai portfolio kukuh hingga menyukarkan untuk memperoleh kepercayaan dan pengiktirafan pelanggan.

"Namun Alhamdulillah, semakin banyak karya dihasilkan, nama akan mula dikenali dan dipercayai pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Jelasnya, mural bukan sekadar melukis di dinding tetapi melibatkan proses pemahaman dan menterjemahkan idea klien dalam bentuk seni yang boleh diterima tanpa mengorbankan identiti kreatif pelukis.

Salah seorang pelukis sedang menyiapkan mural. FOTO IHSAN PROJECT ZEROSIX

"Sering kali klien mempunyai tema atau idea tertentu hendak diterjemahkan.

"Namun kita perlu mencari keseimbangan antara memenuhi kehendak mereka dengan mengekalkan keunikan karya sehingga berlaku ketegangan dan kesulitan mencapai persetujuan,” ujarnya sambil menceritakan realiti sering dihadapi pelukis mural.

Perkara sama diluahkan pelukis, Azri Azahar, 35 atau mesra disapa Ron memberitahu, bekerja di ruangan luar dengan mural bersaiz besar sering terdedah kepada cabaran.

"Hujan atau panas melampau dan kelembapan tinggi merosakkan cat yang masih basah.

"Apabila hujan, cat akan mengalir dan merosakkan mural yang sudah siap,” jelasnya.

Selain cuaca, Ron berkata, pelukis juga perlu berdepan cabaran ruang terhad dan dinding tidak rata.

"Tidak hanya itu, isu kos sering menjadi masalah terutama apabila pelanggan mahukan rekaan lebih besar dan rumit,” katanya.

Pelukis mewarna harimau dilukis disalah satu dinding bangunan di bandar raya Kuantan. FOTO IHSAN PROJECT ZEROSIX

Sementara itu, pelukis, Raja Mohd Faiz Shahzarim Raja Abdul Karim, 30, berkata, lukisan mural kebanyakannya dilukis di tempat tinggi seperti bangunan bertingkat atau dinding luar.

Menurutnya, situasi ini kadang kala memberi tekanan mental dan fizikal kerana pelukis perlu memberi perhatian dalam aspek keselamatan diri.

"Kita memang perlukan alat keselamatan seperti topi keledar, tali dan sebagainya kerana melukis di tempat tinggi serta bahaya,” katanya.

Raja Mohd Faiz berkata, cabaran pelukis mural tidak hanya terbatas pada proses pembuatan mural tetapi penjagaannya selepas siap.

Ujarnya, mural memerlukan penyelenggaraan berkala terutama apabila terdedah kepada elemen alam seperti hujan, cuaca panas dan pencemaran udara.

"Sebagai pelukis, kita perlu merancang untuk memastikan mural kekal dalam keadaan baik dan melakukan pemulihan sekiranya lukisan rosak atau pudar,” katanya.

Selain itu, katanya, walaupun mural diiktiraf sebagai karya seni, persepsi negatif masih wujud dalam kalangan sebahagian masyarakat menganggapnya sebagai vandalisme terutama jika dilakukan tanpa izin.

Berharap ruang lebih luas untuk berkarya

Seorang lagi pelukis mural, Mohd Nordin Mohd Yusof, 38, mengharapkan sokongan lebih besar daripada kerajaan dan pihak berkaitan untuk mengangkat seni mural sebagai elemen penting pembangunan.

Menurutnya, seni mural bukan sekadar hiasan tetapi medium komunikasi budaya yang memperkenalkan keindahan dan nilai masyarakat setempat.

"Kami berharap lebih banyak ruang dan peluang disediakan untuk seniman tempatan mempamerkan bakat mereka.

"Dengan sokongan ini, seni mural boleh menjadi pemangkin ekonomi serta daya tarik pelancongan,” katanya.

Mohd Nordin memaklumkan, insentif juga perlu diberikan kepada seniman terlibat dalam projek seni di ruang awam.

Jelasnya, langkah itu bukan sahaja dapat membantu seniman mendapat sumber pendapatan tetapi mencantikkan imej bandar raya Kuantan.

"Setakat ini, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) banyak memberi peluang kepada pelukis menghiasi dinding bangunan, sekali gus menjadikan Kuantan sebagai pusat seni kreatif.

"Namun, dengan sokongan lebih luas, saya percaya seni mural boleh berkembang pesat di samping dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” tambahnya.

Selain itu, Mohd Nordin mencadangkan program dan pertandingan mural diadakan secara berkala bagi memberi peluang kepada bakat baharu.