IPOH - Syarikat elektronik multinasional, Murata Electronic mencipta sejarah apabila melaksanakan inisiatif penghantaran trak rentas sempadan pertama melalui Singapura, Malaysia dan Thailand.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Terminal Kargo Ipoh (ICT) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi melancarkan proses penghantaran barang-barang syarikat tersebut melibatkan tiga negara berkenaan.
Pengarah Urusan Murata Electronic Malaysia, Yukio Kishigami berkata, pihaknya amat teruja dengan potensi untuk mengembangkan operasi mereka pada masa akan datang.
"Jika segala perancangan melibatkan perjalanan sehala dari Thailand ke Singapura melalui Malaysia ini berjalan lancar, kita bercadang untuk meneroka peluang bagi melengkapkan perjalanan penghantaran ini.
"Inisiatif ini dilihat berpotensi untuk diperluaskan perkhidmatan ini bersama cawangan kita yang berada di Vietnam selain mempromosikan Ipoh sebagai hab logistik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Pelepasan Pertama Penghantaran Trak Rentas Sempadan Murata Electronic di ICT, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad dan Pengurus Pembangunan Perniagaan ICT, Rosnawati Ramli.
Melalui inisiatif itu, kontena yang dibawa dari Murata Thailand boleh singgah di ICT untuk mengisi barang-barang dari Malaysia dan terus dihantar ke Singapura tanpa perlu menggunakan pengangkutan tambahan.
Selain itu, inisiatif tersebut dapat menjimatkan kos operasi sekurang-kurangnya RM100,000 setahun selain mengurangkan pencemaran karbon dioksida melebihi 30 peratus yang menjadi sasaran Murata demi kelestarian alam.
Sementara itu, Rosnawati berkata, melalui inisiatif penghantaran trak rentas tersebut, ICT akan terus berusaha meningkatkan kecekapan pengendalian dan kemudahan fasiliti tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta kepatuhan undang-undang.
"Pemilihan ICT sebagai hab pergerakan rentas sempadan ini merupakan satu pilihan tepat sejajar dengan peranan ICT sebagai pintu keluar dan masuk bagi aktiviti import dan eksport ke seluruh dunia dengan proses pengikraran serta deklarasi borang Kastam boleh dijalankan di sini.
"Penghargaan juga diberikan kepada JKDM Perak atas kerjasama yang diberikan untuk merangka penyelesaian tanpa mengabaikan pematuhan peraturan yang ketat," katanya.
Ujarnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi impak besar kepada syarikat Murata tetapi seluruh ekosistem logistik dan industri perdagangan serantau.