KUANTAN - Peniaga di sekitar daerah ini diarah menurunkan segera bendera negeri Pahang dan Jalur Gemilang usang, lusuh dan mereput yang masih dikibarkan di premis perniagaan mereka.
Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman, arahan ini dibuat bagi menjaga imej bandar raya dan memupuk rasa hormat terhadap simbol kebangsaan.
Iklan
Iklan
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati beberapa premis perniagaan masih mengibarkan bendera dalam keadaan tidak sesuai.
"Kita telah berikan amaran lisan kepada penjaga terlibat sebagai langkah awal sebelum operasi penguatkuasaan dijalankan.
"Pemasangan bendera yang baik dan tidak lusuh adalah antara syarat lesen premis perniagaan. Jika gagal mematuhi syarat ini, tindakan kompaun akan dikenakan di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Jelasnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil termasuklah pengeluaran kompaun sekiranya gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.
"Jadi kita harap peniaga dapat memberi perhatian serius dalam perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kadar segera," katanya.